PETALING JAYA – Sebahagian pengamal perubatan tradisional dan komplementari (PT&K) menjelaskan bayaran yang dikenakan kepada pesakit adalah mengikut kemahiran, pengalaman dan keunikan rawatan yang digunakan.
Timbalan Persatuan Perubatan Islam Hijama Malaysia (Perhijam), Muhammad Hafiz Ab. Ghani berkata, terdapat pengamal PT&K membabitkan rawatan Islam atau tradisional Melayu menetapkan caj bergantung kepada risiko yang mereka akan mereka hadapi ketika merawat seseorang pelanggan.
“Saya tidak nafikan ada caj sebab (berdasarkan) risiko yang perlu ditanggung perawat. Saya sendiri menjalankan khidmat bekam dan berdepan macam-macam hal. Ada pesakit yang ‘membela’ dan kami nampak kelibat tersebut.
“Selepas selesai bekam saya terbaring panas dan lesu. Yang terbaharu saya merawat pesakit paru-paru, setengah jam sebelum dia sampai saya sukar bernafas. Ini risiko yang terpaksa kami hadapi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Muhammad Hafiz yang juga Pengerusi Pengamal Perubatan Melayu Nusantara (Pamera) mengakui ada pengamal PT&K mengenakan bayaran terlalu tinggi sehingga ada pesakit yang terpaksa menggadai barang kemas.
Beliau yang berpengalaman selama 20 tahun dalam PT&K berkata, Perhijam dan Pamera yang dianggotai lebih 1,000 ahli tidak boleh berbuat apa-apa terhadap aduan tersebut kerana tiada garis panduan ditetapkan untuk caj rawatan PT&K.
“Ada perawat ‘otai’ (berpengalaman) ambil seikhlas hati dan perawat baharu tetapkan harga melampau.
“Setiap perawat ada alasan. Ada yang mendaftar sudah bayar beratus ringgit, jika mereka ahli kami akan nasihat,” katanya.
Beliau menyarankan orang ramai melakukan ‘akad’ sebelum rawatan dimulakan bagi memastikan kedua-dua pihak bersetuju dengan caj yang dikenakan bagi mengelak unsur zalim.

Sementara itu, Pertubuhan Perubatan Tradisional India Malaysia (Peptim) menyifatkan kadar bayaran untuk rawatan PT&K bersifat subjektif kerana ia melibatkan kos dan teknik rawatan yang berlainan digunakan.
Presidennya, T. Sivakkumaran berkata, rawatan tradisional India yang sebahagiannya menggunakan teknik urutan antara dua hingga tiga jam dan penggunaan minyak atau herba tertentu sudah pasti melibatkan kos.
Katanya, beliau percaya kadar bayaran dikenakan pengamal perubatan tradisional India di Malaysia berpatutan, tetapi sebahagian pesakit sukar untuk menerima caj dikenakan kerana ia bukan rawatan moden.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada pengamal rawatan tradisional India yang mengenakan bayaran hingga beribu ringgit terhadap pesakit, tetapi ia dilakukan oleh perawat dari luar negara termasuk India dan China.
Menurut beliau, pengamal rawatan tradisional India terbabit melakukan rawatan di hotel-hotel dan dibawa menjelajah ke beberapa buah negara oleh pihak yang membawa mereka masuk ke negara ini.
“Ramai orang percaya sedangkan mereka tidak tahu risiko yang mereka tanggung dengan mendapatkan rawatan cara demikian kerana rawatan yang dilakukan tidak pasti betul atau sebaliknya,” katanya.
















