KUALA LUMPUR – Aksi tenang ditampilkan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani ketika menewaskan juara Sukan Olimpik Paris 2024 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024.
Pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A di Gimnasium Olimpik Hangzhou, China hari ini, gandingan No.7 dunia itu mempamerkan aksi bertenaga untuk mencatat kemenangan straight set 24-22, 21-12 dalam tempoh 42 minit.
Kemenangan tersebut meletakkan beregu yang terkenal dengan julukan DinFei itu di kedudukan kedua, mengiringi juara kumpulan, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark ke pentas separuh akhir.
Sze Fei berkata, kemenangan itu cukup berharga memandangkan ia merupakan pertemuan terakhir dua beregu tersebut memandangkan Lee Yang bakal menggantung raket sebaik sahaja kempen WTF 2024 berakhir.
“Kami sangat menghargai peluang terakhir bermain menentang legenda, banyak perkara yang kami belajar daripada mereka. Lee Yang adalah rakan, idola dan salah seorang legenda dalam badminton,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sementara itu, Izzuddin menyuarakan rasa bangga atas kejayaan melangkah ke separuh akhir, namun dia percaya masih banyak aspek perlu diperbaiki menjelang aksi kelompok empat terbaik nanti. – KOSMO! ONLINE