LUMUT – Seorang lelaki dihukum penjara setahun tiga bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini, hari ini ekoran mencuri rim tayar sebuah kereta di Marina Island pada 22 November lalu.
Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Badarudin, 39, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 10 Disember dan tambahan penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah mencuri dua rim bersama tayar jenama Toyo kereta jenis Honda City milik seorang lelaki berusia 33 tahun.
Kesalahan berkenaan dilakukan tertuduh di tempat parkir berbayar Marina A1-E14 Lumut dalam daerah Manjung sekitar pukul 3 petang pada 22 November 2024.
Muhammad Badarudin dituduh mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hairol Jemain manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, A Sive Ganesh. – KOSMO! ONLINE