fbpx
Mengikut agama Islam, kita dituntut untuk menyegerakan urusan jenazah. - Gambar Hiasan

Kebumi awal hormati hak jenazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP manusia pasti mengimpikan pengakhiran yang baik sehinggalah saat dibawa untuk disemadikan ke dalam liang lahad.

Mengikut agama Islam, kita dituntut untuk menyegerakan urusan jenazah yang merupakan sunah dalam menjalankan kewajipan tersebut.

Ini termasuk memandikan jenazah dan kemudian dikafankan serta disolatkan sebelum dibawa untuk dikebumi di tanah perkuburan.

Namun, berdasarkan pengalaman penulis, tidak mustahil jika jenazah disemadikan sedikit lewat terutama yang melibatkan kemalangan atau insiden kebakaran, lemas mahupun jenayah bunuh.

Sudah tentu, mangsa atau mayat yang ditemui perlu melalui proses bedah siasat terlebih dahulu bagi mengenal pasti punca kematian.

Bagaimanapun, kes melibatkan mayat seorang bayi lelaki yang dibekukan selama lebih dua minggu oleh sebuah hospital swasta telah mengejutkan seluruh negara.

Ini kerana, kisah menyayat hati itu didakwa berlaku berpunca apabila bapa bayi berkenaan tidak mampu membayar bil caj kelahiran anaknya.

Tampil menjelaskan isu berkenaan, pihak hospital terbabit menafikan dakwaan menyimpan jenazah bayi itu dan melarang dikebumikan lebih awal.

Menurut penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus, urusan pengebumian hanya boleh dilambatkan sekiranya terdapat masalah atau uzur syarie.

“Tapi lambat pun dengan kadar yang tertentu sahaja. Jika tiada sebab, perlu disegerakan. Nabi Muhammad SAW (bersabda), segerakanlah dan cepatkanlah urus jenazah.

“Walaupun keluarga dia yang suruh lambatkan, tak boleh kerana hak jenazah didahulukan daripada hak keluarga. Kita kena hormat hak jenazah itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Rafie Zainal berkata, isu pembekuan mayat bukanlah sesuatu yang baru tetapi telah lama berlaku sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta.

Menurutnya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pihak hospital membuat pembekuan ke atas mayat.

“Antaranya ialah kes jenazah warga asing yang tidak mampu membayar bil hospital dan kes waris tidak mahu menuntut jenazah kerana pelbagai alasan sendiri.

“Selain itu, kes jenazah yang tiada identiti untuk dikenal pasti atau waris tidak dapat dikesan, kes bayi dan janin yang dibuang dan tidak dituntut termasuk kes jenayah melibatkan pihak berkuasa,” jelasnya.

Tambahnya, beliau berharap agar isu tersebut dapat membuka mata semua pihak tentang perkara yang sudah lama terjadi khususnya dalam negara ini.

“Semoga setiap jasad jenazah yang masih disimpan dalam peti mayat hospital dapat dipermudah urusannya dan segera disemadikan walau apa jua alasannya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN