fbpx

Hidap kanser testis, ujian paling berat Marc Syahmie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAHMIE didiagnos menghidapi kanser testis tahap dua pada 20 Oktober lalu.

PETALING JAYA – “Mengapa saya, sedangkan saya masih muda”.

Demikian perasaan pelakon baharu Marc Syahmie sebaik didignos menghidapi kanser testis tahap dua pada 20 Oktober lalu.

Marc Syahmie atau nama sebenarnya, Ahmad Syahmie Mahuyidin, 25, sama sekali tidak menyangka sakit tulang belakang dan bengkak testis yang dialaminya adalah simptom kepada kanser testis.

“Keluarga saya tidak ada sejarah kanser dan saya juga seorang yang aktif bersukan, jadi terduduk juga apabila doktor mengesahkan saya ada kanser.

“Namun, sakit adalah penghapus dosa, jadi saya reda dengan ujian paling berat saya alami pada tahun ini,” tutur Syahmie.

Sungguhpun begitu, Syahmie bersyukur kansernya dikesan pada peringkat awal dan belum merebak pada bahagian badan yang lain.

Dalam tempoh sebulan selepas disahkan kanser, Syahmie terus melakukan pembedahan membuang sel kanser di testis kirinya dan menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM).

“Saya hanya melakukan sekali sahaja rawatan kimoterapi menggunakan dos paling tinggi. Walaupun sekali, saya tetap alami kesannya seperti rambut gugur dan keletihan melampau.

“Tetapi dalam tempoh seminggu rawatan dengan penjagaan makanan yang ketat, saya kembali sihat dan telah pun mula bekerja,” kata Syahmie.

Biarpun kanser testis meninggalkan stigma negatif, Syahmie rasa terpanggil untuk berkongsi tentang perjalanan kanser tersebut demi memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Jujur, mulanya saya rasa malu kerana sedar pelbagai stigma akan bermain difikiran orang, tetapi jika saya tidak kongsi mengenainya orang tidak akan tahu.

“Kanser testis boleh menyerang lelaki yang berusia 25 tahun ke atas dan jika dapat dikesan lebih awal akan dapat menyelamatkan nyawa serta memberi kualiti kehidupan yang lebih baik.

“Saya buang rasa malu supaya lebih ramai lelaki tahu tentang kanser testis. Jika ada rasa abnormal pada badan, tolong lakukan pemeriksaan di hospital. Jangan jadi seperti saya yang berada dalam fasa penafian (indenial) selama setahun,” luah Syahmie.

Syahmie yang memulakan karier lakonan selepas memenangi tempat kedua program pencarian bakat Fit For Action di TV3 pada 2022 aktif berlakon dan telah membintangi beberapa buah drama selain sebagai model peragaan.

Antara drama lakonannya, Geng Daddy Daddy, Cinta Kedua, Keria Women, Bintang GV Dikejar Zombie, Hati Terpaut Sayang dan terbaharu Skuad X: Dari Jalanan Ke Perjuangan yang sedang bersiaran di slot Lestary TV3.

Selain berlakon, Syahmie juga kini sedang melanjutkan pelajarannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda jurusan Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

“Kanser bukan pengakhiran kehidupan sebaliknya hikmah yang menyedarkan saya tentang nikmat sihat serta mendekatkan diri saya dengan Allah,” kata Syahmie – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI