PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) semakin hampir untuk mendedahkan struktur baharu skuad kebangsaan Harimau Malaya dengan jurulatih kelahiran Australia, John Hutchinson menjadi nama terkini dikaitkan dengan ‘kerusi panas’ itu.
Sebagai rekod, Hutchinson menyandang tugas selaku pengendali interim gergasi Jepun, Yokohama F Marinos sejak pertengahan tahun ini bagi mengisi kekosongan ditinggalkan oleh rakan senegaranya, Harry Kewell.
Selepas saingan Liga 1 Jepun melabuhkan tirai pada 8 Disember lepas, kontrak Hutchinson dilaporkan tidak disambung selepas pasukan itu hanya menamatkan saingan di tempat ke-9 musim ini.
Kelab Jepun itu juga hampir pasti melantik bekas penolong jurulatih England, Steve Holland untuk membimbing pasukan musim depan sekali gus menyaksikan Hutchinson bakal bergelar ejen bebas.
FAM ketika ini masih berteka-teki tetapi presidennya, Tan Sri Hamidin Mohd. Amin meminta semua pihak agar menunggu pengumuman rasmi daripada badan induk itu yang akan dibuat dalam masa terdekat.
“Perkara itu FAM akan buat pengumuman rasmi dalam masa terdekat, maksudnya dalam bulan ini juga. Kita sedang memuktamadkan sedikit lagi, nanti kita akan umumkan struktur baharu itu,” kata Hamidin.
Kosmo! bulan lalu mendedahkan legenda Australia dan Everton, Tim Cahill mungkin diberikan jawatan besar dalam merencana gerakan skuad Harimau Malaya nanti.
Difahamkan, struktur baharu Harimau Malaya selepas ini akan terus berpaksi ke benua Australia dengan FAM bakal melantik beberapa individu berpengalaman serta berpengaruh dari negara itu.
Selain Hutchinson, beberapa lagi nama besar Australia turut dikaitkan dengan skuad kebangsaan seperti Kewell, Kevin Muscat, Peter Cklamovski, Arthur Papas dan pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou.
Sebelum ini, dua bekas pengendali Johor Darul Ta’zim, Esteban Solari dan Benjamin Mora juga pernah dikaitkan dengan jawatan itu.