KISAH penjual teh ais yang dihina, dimalukan serta dipersendakan oleh pendakwah terkenal Indonesia Gus Miftah dalam satu acara pengajian di Magelang, Jawa Tengah baru-baru ini mendapat liputuan meluas di media sosial selepas videonya tersebar.
Peniaga itu, Sunhaji segera mendapat simpati daripada masyarakat di negara tersebut hinggakan mendapat pelbagai hadiah dan sumbangan daripada orang ramai yang bersimpati dengan nasibnya yang dihina sebagai bodoh.
Biarpun Gus Miftah atau nama sebenarnya Miftah Maulana Habiburrahman telah memohon maaf secara terbuka dengan menemui Sunhaji, tetapi ia tidak semudah itu kerana lukanya pasti berbekas.
Gus Miftah yang mempunyai jutaan pengikut di media sosial tidak sepatutnya menuturkan kalimat penghinaan tersebut biarpun dalam nada bergurau kerana sebagai tokoh agamawan tersohor perlu menjaga adab dan turut kata agar tidak mengguris perasaan orang lain.
Inilah yang berlaku apabila ramai yang lebih mementingkan ilmu daripada adab hinggakan timbul ujub iaitu perasaan lebih mulia berbanding orang lain.
Adab didefinisikan sebagai segala bentuk sikap, perilaku atau tata cara hidup yang mencerminkan nilai sopan santun, kehalusan, kebaikan, budi pekerti atau akhlak.
Persoalannya, mengapa ulama terdahulu lebih mementingkan adab lebih daripada mempunyai ilmu yang tinggi? Ini tidak lain tidak bukan kerana kepintaran pun tidak ada ertinya apabila seseorang tidak memiliki adab.
Dalam erti kata lain, orang yang berilmu belum tentu beradab, tetapi jika orang yang memiliki adab sudah pasti berilmu.
Apabila seseorang lebih mengutamakan ilmu berbanding adab, maka berlakulah episod merendahkan-rendahkan martabat orang lain yang difikirkan tidak sehebat mereka dan ini turut berlaku kepada orang bergelar agamawan yang turut terpedaya dengan bisikan syaitan.
Dalam hal ini semua orang perlu muhasabah diri agar tidak mudah terpedaya dengan bisikan syaitan, hatta dalam perkara apa sekali pun kerana ia boleh menyebabkan kehidupan kita tidak mendapat keberkatan daripada Allah.
Justeru jangan pernah bertanya mengapa orang ini begini, orang itu begitu nasibnya kerana ujian yang diterima setiap orang adalah berbeza.
Mungkin ada orang diuji dengan ujub dan rasa diri hebat, ada juga diuji dengan cara lain termasuk kesempitan hidup.
Walau apa pun ujian mendatang, kembalilah kepada Allah dengan berdoa agar kita tidak diuji dengan perkara yang boleh menjurus ke arah musibah. -KOSMO! ONLINE














