KUALA LUMPUR – Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) 1998 berkaitan Akta 589 ditangguhkan hari ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau mencadangan untuk menangguhkan bacaan kali kedua RUU itu bagi mendapatkan pandangan serta cadangan lanjut daripada beberapa pihak.
“Ini termasuk jawatankuasa pilihan khas infrasuktur pengangkutan dan komunikasi serta jawatankuasa pilihan khas hak asasi manusia pilihan raya dan reformasi institusi.
“Kamu (Ahli Parlimen) telah minta dan saya laksanakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, penangguhan itu juga adalah untuk mengelakkan pihak lain menggunakan MCMC sebagai alat pemuas politik dengan hanya menyebelahi suatu pihak sahaja.
“Suruhanjaya ini milik rakyat maka saya harap lebih ramai yang akan berikan pandangan melalui jawatankuasa pilihan khas dan bawa satu RUU yang kita harap dapat dipersetujui dan disokong oleh Ahli Parlimen,” ujarnya.
Pindaan RUU itu yang bertujuan menambah baik peranan serta memperkukuhkan tadbir urus dan pengoperasian MCMC dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 2 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE