GUA MUSANG – Situasi hujan berterusan yang melanda kebanyakan kawasan di Gua Musang selama lebih 15 jam menyebabkan paras semua sungai di daerah ini meningkat.
Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Gua Musang, Nik Raisnan Daud berkata, cuaca ketika ini masih lagi hujan dan laluan di beberapa kampung di sini mula dinaiki air sejak awal pagi tadi.
Nik Raisnan berkata, semua agensi keselamatan kini sedang bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.
“Penduduk diminta bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika keadaan air sungai terus menaik. Kita harap keadaan cuaca bertambah baik menjelang tengah hari ini0,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, beberapa kampung di pedalaman dan bandar Gua Musang mula digenangi air melibatkan Jalan Kampung Pulai, Felda Aring 2, Felda Chiku 2, Kampung Serian, Jalan Bandar Gua Musang, Kampung Batu 5 dan Batu 6.
“Penduduk diminta supaya berhati-hati serta bersiap siaga dengan menyiapkan dokumen penting untuk dipindahkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE