JEMPOL – Seorang peniaga kecil-kecilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini atas tuduhan melanggar seorang pelajar sekolah sehingga mati di kilometer 0.5, Jalan Bahau-Rompin, Oktober lalu.
Tertuduh, G. Chandra, 59, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu sebuah trak jenis Mitsubishi Triton telah memandu kenderaan tersebut di atas jalan raya dengan cara yang merbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian kepada seorang pelajar sekolah lelaki berusia 17 tahun pada 27 Oktober lalu.
Majistret kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin beserta lesen digantung sehingga kes selesai. Kes disebut semula pada 15 Januari ini bagi lantikan peguam.-KOSMO! ONLINE