Saya lahir dan membesar di kampung yang boleh dikatakan berdepan dengan banjir hampir setiap tahun khususnya setiap kali tiba musim tengkujuh.
Hal ini kerana kampung kelahiran saya ini merupakan sebuah tanjung di mana di hujung dan belakang adalah sungai besar, hampir menyamai kelebaran Sungai Pahang dan Sungai Perak.
Sementara di depan kampung adalah sungai kecil tempat anak-anak kampung mandi-manda hampir setiap petang, kami menangguk anak udang ketika air surut dan memukat ikan ketika air pasang.
Pokok kelapa condong pula tempat kami lakukan acara terjunan tiga meter individu gaya bebas dan pastinya semua tidak layak untuk ke mana-mana pertandingan!
Hari ini semua itu cuma tinggal kenangan kerana sungai di depan rumah semakin cetek dan kanak-kanak lebih suka menghadap gajet daripada bermain di sungai.
Namun, meskipun sungai semakin lesu dalam kesibukan orang ramai dengan urusan kehidupan masing-masing, musim tengkujuh tetap menjadi igauan ngeri kepada penduduk di sini.
Jika bah biasa, air sungai naik ke daratan sekadar bawah paras lutut iaitu bersamaan satu atau dua anak tangga. Ketika ini bersuka rialah budak-budak bermain ‘water park’ percuma di halaman rumah.
Bagaimanapun jika hujan berterusan dan bertembung air pasang, banjir pada paras pinggang adalah tanda sebahagian yang tinggal di kawasan rendah mesti berpindah. Baki yang lain bersiap sedia untuk menghadapi keadaan lebih buruk.
Ketika itu, biasanya bekalan elektrik terpaksa diputuskan bagi mengelak bahaya. Oleh kerana terbiasa, penduduk ketika ini kebanyakan telah bersiap sedia dengan bekalan makanan, bahan api, lilin dan pengecas mudah alih agar telefon bimbit dapat bertahan sekurang-kurangnya beberapa hari jika kecemasan.
Malangnya dalam kejadian banjir besar pada 2014 isu pemancar telekomunikasi yang tidak dapat berfungsi akibat banjir menyebabkan keadaan menjadi huru-hara apatah lagi suasana ketika itu sangat tidak dijangka.
Penduduk yang terperangkap gagal menghubungi pihak penyelamat disebabkan tiada liputan talian dan lebih menyedihkan hari ini, isu sama masih berlarutan selepas 10 tahun banjir besar berlaku.
Ini dinyatakan sendiri oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching bahawa 323 stesen pemancar komunikasi terjejas akibat banjir di seluruh negara. Keadaan itu pasti menyebabkan penduduk sekitar terputus hubungan sama sekali.
Kita faham mengenai masalah yang terpaksa dihadapi, namun apa yang dikesalkan ialah pihak berwajib seolah-olah tidak ada pelan tindakan bagi menangani isu komunikasi ketika banjir besar melanda.
Apakah selepas 10 tahun, kita perlu menunggu 10 tahun lagi untuk ada persiapan lengkap dari segi logistik penyelamatan, bekalan makanan dan alternatif komunikasi ketika bencana melanda?
Kecanggihan tidak ada erti tanpa kebijaksanaan.















