KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan akan mengkaji cadangan bagi mewujudkan pusat latihan memandu bertingkat bagi menangani isu tunggakan permohonan latihan memandu.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, cadangan itu memerlukan suatu kajian yang lanjut dan terperinci untuk meneliti aspek kesesuaian dan kebolehlaksanaannya menyediakan komponen-komponen asas latihan memandu di dalam banggunan bertingkat.
Katanya, komponen tersebut antara lain seperti komponen belajar berhenti secara kecemasan, mendaki dan menuruni bukit dan sebagainya.
“Memang ada cadangan tersebut diberikan kepada kami dengan reka bentuk sekali, struktur dan sebagainya. Kita sedang mengkaji, ada cadangan itu memang ada. Ini untuk kawan yang sudah padat seperti Kuala Lumpur.
“Cadangan ini adalah sesuatu yang baik, jadi Insya-Allah kita akan berbincang lebih lanjut dengan pihak-pihak berkuasa terutamanya dengan pihak Kementerian Kewangan tentang insentif-insentif kita,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin yang ingin tahu sama ada kerajaan mempertimbangkan permohonan daripada pihak yang mengendalikan institut memandu untuk beroperasi di kawasan lebih kecil atau bangunan bertingkat bagi tujuan latihan memandu.
Selain itu, Salehuddin turut bertanya apakah langkah kerajaan dalam mempertimbangkan pelepasan cukai jualan bagi pembelian kenderaan yang digunakan sebagai alat bantuan mengajar oleh pengendali Institut Latihan Memandu.
“Pada ketika ini tiada pengecualian cukai jualan yang diberikan, dan kerajaan tiada mempunyai perancangan pada masa hadapan untuk mengecualikan cukai jualan kepada manamana Institut Memandu (IM) bagi pembelian sebarang kenderaan untuk tujuan pembelajaran di IM.
“Bagaimanapun, pengecualian cukai jualan ke atas pembelian kenderaan yang digunakan bagi tujuan bantuan mengajar oleh IM perlu dipertimbangkan terlebih dahulu dan sekiranya terdapat sebarang permohonan daripada pihak IM, ia perlu dikemukakan menerusi Kementerian Pengangkutan bagi pertimbangan oleh Kementerian Kewangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE