SUNGAI BULOH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Shah Alam sejak pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan polis telah dibuat oleh bapa mangsa kira-kira pukul 7.40 malam tadi.
“Mangsa, Dhiya Azzahra Muhamad Alhalifi, dilaporkan keluar dari rumahnya di Blok 13, Jalan Dinar F, Seksyen U3, Shah Alam, sekitar pukul 9 pagi pada hari kejadian dan tidak kembali.
“Orang hilang berketinggian 150 sentieter, berat 45 kilogram, berkulit sawo matang dan pakaian terakhir adalah jeans baggie besar hitam, sweater hoodie hitam, tudung hitam, dan kasut sukan Adidas berwarna-warni,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai dakwaan dilarikan seorang lelaki, Mohd Hafiz memaklumkan pihaknya masih menyiasat dakwaan tersebut.
Jelas beliau, pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau menjumpai mangsa agar segera menghubungi balai polis terdekat atau Sarjan Mohd Hizam Talib di talian 012-6550262.
“Kes ini kini dalam siasatan, dan usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.