PETALING JAYA – Isu berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan serta kartel kontrak baja padi membabitkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) antara yang menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Negara esok.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang dikongsi di laman sesawang Parlimen Malaysia, isu berkaitan papan iklan itu dibangkitkan oleh Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan pada sesi pertanyaan jawab lisan.
Bagi isu kartel kontrak baja padi dalam Nafas pula, ia akan dibangkitkan oleh Senator Hussin Ismail yang mahu kerajaan menyatakan strategi untuk menyelaraskan semula pengurusan agensi terbabit.
Turut akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Negara esok adalah isu berkaitan masalah buli di tempat kerja, sama ada di
sektor awam mahupun sektor swasta.
Perkara itu akan dibangkitkan Senator Tan Sri Datuk Seri Panglima Anifah Aman.
Selain itu, turut akan dibangkitkan esok adalah isu berkaitan penanaman semula koko oleh Senator Datuk Dr. Ahmad Azam Hamzah.
Ini kerana katanya, harga pasaran koko mencecah RM30,000 per tan dalam pasaran yang telah tersedia dan negara mengimport produk koko bernilai RM7.8 bilion setahun.
Sementara itu, Senator Anna Bell @ Suzieana Perian pula akan membangkitkan isu rawatan
percuma kepada pesakit buah pinggang yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan dialisis.
Beliau juga akan bertanyakan sama ada kerajaan bercadang untuk membuka lebih banyak pusat dialisis terutamanya di kawasan pedalaman di seluruh negara.
Berdasarkan takwim, Mesyuarat Ketiga, Persidangan Dewan Negara Parlimen ke 15 akan berlangsung selama 12 hari bermula 2 Disember sehingga 19 Disember.
Waktu Persidangan dari pukul 10 pagi hingga 1 tengahari dan 2.30 petang hingga 5.30 petang pada hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis.-KOSMO! ONLINE