fbpx

Vivy Yusof, suami dibenar ikat jamin RM100,000 setiap seorang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadzarudin dan Vivy ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto oleh Amir Khalid/Kosmo!

KUALA LUMPUR – Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.

Bagaimanapun Vivy, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

“Faham, tidak bersalah (mengaku tidak salah),” kata kedua-dua tertuduh secara berasingan selepas ditanya jurubahasa selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn. Bhd., yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.

Ia dimana kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah kedua-dua tertuduh diberi ikat jamin kerana kes berkenaan termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun beliau mengakui, pasangan itu telah memberi kerjasama baik kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang kes itu disiasat.

Berikutan itu pihak pendakwaan mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin antara RM100,000 hingga RM200,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Mereka sememangnya memberi kerjasama kepada SPRM dengan hadir setiap kali dipanggil memberi keterangan namun, ketika itu mereka merupakan saksi kes dan sekarang status itu telah bertukar kepada tertuduh. Amaun yang kami mohon sangat munasabah, kerana mengambil kira keseriusan kes dan ada risiko untuk melarikan diri.

“Kes ini melibatkan amaun mencecah RM8 juta maka kadar jaminan yang kami cadangkan tidak bersifat menekan atau menghukum kedua-dua tertuduh,” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam, Ashok Athimulan yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata, jumlah ikat jamin yang dicadangkan pihak pendakwaan adalah tinggi seolah-olah menghukum anak guam sebelum perbicaraan bermula.

“Saya tidak membantah syarat tambahan, namun mohon jaminan pada kadar rendah dan munasabah dengan mengambil kira mereka telah hadir sebanyak sambilan kali ke pejabat SPRM ketika siasatan kes.

“Mereka mempunyai empat anak yang bersekolah di sini, termasuk keluarganya menetap di ibu negara, sekali gus mereka tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri maka tiada keperluan untuk mahkamah menetapkan jumlah jamin yang tinggi,” katanya.

Rayuan lanjut kemudian menyatakan anak guamnya mengalami kekangan kewangan selepas aset dan harta mereka dibekukan, sehingga terpaksa bergantung kepada ahli keluarga dan rakan yang lain untuk bayar wang jaminan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Rosli membenarkan Vivy dan Fadzaruddin masing-masing diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 22 Januari 2025 bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan ke atas pasangan suami isteri itu membabitkan kerugian RM43.9 juta pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.

Pada 28 November lalu, SPRM memaklumkan pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan membabitkan pasangan suami isteri itu berhubung kes kerugian pelaburan berkenaan.

Terdahulu SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi agak mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan sejak 2018 sehingga 2023.

SPRM dilaporkan membuat rampasan kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI