KLUANG – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan perintah reman tujuh hari terhadap lelaki yang dipercayai menikam ibu kandungnya dalam kejadian di Felda Ayer Hitam di sini, semalam.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno terhadap suspek berusia 20-an itu bermula hari ini sehingga 11 Disember depan.
Sebelum itu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah dengan dikawal angggota polis pada pukul 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dalam kenyataan akhbar memberitahu suspek ditahan di Felda Ayer Hitam pada pukul 11 pagi semalam.
Ia susulan laporan yang diterima pihaknya mengenai seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang terbaring tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di bahagian badan mangsa.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia setelah dihantar ke Hospital Besar Enche Hajjah Khalsom (HEBHK) dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE