SEBELUM melanjutkan pengajian, gadis itu tidak arif tentang permainan kad dan papan (board games) yang merupakan salah satu hobi popular pada suatu ketika dahulu.
Sebaliknya, dia lebih terdedah kepada permainan online.
Bagaimanapun, selepas penyertaan dalam Persatuan Permainan Papan Monash (MBS) di Universiti Monash, dia mula sedar tentang kepelbagaian permainan kad dan papan, selain mempunyai komuniti sendiri.
Menurut Tan Ying Wan, 20, sejak menyertai persatuan MBS pada tahun lalu, dia banyak belajar bermain permainan kad dan papan.
Malah, dia berasa kagum apabila mengetahui terdapat permainan kad dan papan tempatan.
“Sebelum ini saya ada mengetahui tentang permainan kad dan papan, tetapi hanya versi yang banyak dijual di kedai seperti Uno, Monopoly dan sebagainya. Namun, saya tidak tahu ada banyak lagi permainan yang menarik untuk dicuba.
“Sepanjang menjadi ahli persatuan itu, saya tidak sangka ada permainan direka dan dihasilkan oleh anak tempatan dengan menggunakan identiti Malaysia sebagai tema,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Ying Wan yang merupakan Pengerusi Persatuan MBS berkata, selepas mengetahui tentang permainan tersebut, dia tidak melepaskan peluang untuk mencubanya bersama rakan-rakannya.
Katanya, permainan digelar Nasi Lemak The Game (NLTG) itu merupakan set kad dengan strategi yang mudah untuk difahami.
Ujar Ying Wan, pada permainan pertama lagi, dia dan rakan-rakan sudah memahami cara untuk bermain.
NLTG merupakan sebuah permainan kad hasil idea empat sekawan, Amarveen Malairaja, Logan Ghanesh, Ravin Shunmugarajan, dan Nyanavelan Sivapalan.
Mereka berempat mempunyai minat mendalam terhadap permainan kad dan papan.

Disebabkan itu, mereka telah mencuba pelbagai jenis permainan kad sejak di usia remaja.
Sehingga pada tahun 2020, keempat-empat mereka mendapat idea untuk mencipta sebuah permainan sendiri berawal dengan cadangan konsep perayaan Krismas.
Mereka membangunkan permainan interaktif fizikal di bawah naungan Faculty of Fun.
Kongsi Nyanavelan, dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), idea itu telah berkembang dan mereka melihat keperluan kepada sebuah permainan yang mencerminkan identiti Malaysia sebagai konsep.
“Kami menubuhkan Faculty of Fun sebagai usaha untuk membawakan kegembiraan kepada orang ramai menerusi permainan fizikal.
“Sebab itu idea untuk mencipta permainan kad ini timbul dan kami bangunkan bersama-sama.
“Kami memilih tema identiti Malaysia iaitu nasi lemak kerana ia merupakan simbolik kepada makanan kebangsaan serta dekat dengan semua bangsa di negara ini,” ujarnya.
Tambahnya, proses R&D permainan NLTG mengambil masa selama hampir dua tahun sebelum diperkenalkan pada Februari 2022.
Dalam proses pembangunan, Ravin berkata, strategi dan konsep asas permainan tersebut direka berdasarkan elemen bahan dalam hidangan sepinggan atau sebungkus nasi lemak.
Untuk makluman, semua elemen termasuk rekaan grafik dan karakter kad diilustrasikan oleh pelukis tempatan, Pan Sin Yi. Permainan itu bercirikan konsep serta inspirasi kepelbagaian budaya dan keindahan Malaysia.
Terdapat juga gambar bahan-bahan dalam nasi lemak seperti nasi, ikan bilis, kacang tanah, telur, timun dan sambal.
“Setakat ini, kami telah menghasilkan dua versi permainan iaitu versi original dan lanjutan.
“Permainan ini juga terdiri daripada 15 kad nasi lemak bungkus, 50 kad bahan-bahan nasi lemak dan 25 kad aksi yang terdiri daripada kelebihan serta sabotaj,” katanya.
Bagi versi lanjutan pula, ia ditambah dengan bahan baharu iaitu rendang bagi menambah keterujaan terhadap permainan berkenaan.
Berkongsi cara bermain, Amarveen memberitahu, setiap pemain merupakan pemilik gerai nasi lemak yang bersaing untuk menghasilkan lima bungkus makanan tersebut paling awal.
“Untuk menghasilkan satu bungkus nasi lemak, pemain perlu mengumpulkan lima kad bahan berbeza yang akan diberikan semasa permulaan permainan.
“Bagi mendapatkan bahan tersebut, pemain boleh membuat pertukaran bahan sesama sendiri atau mengambil dari dek sehingga semua bahan terkumpul ditukar kepada kad bungkusan nasi lemak sebagai simbolik hidangan telah siap,” jelasnya.
Kongsinya lagi, selain berdagang untuk mengumpulkan bahan, pemain juga boleh menggunakan helah dengan kad aksi seperti lalat untuk sabotaj nasi lemak, namun ia dapat dielak dengan menggunakan kad pemukul lalat atau kipas.
Selain itu, terdapat juga kelebihan seperti kad ‘mak cik nasi lemak’ yang membolehkan pemain menyiapkan nasi lemak mereka dengan tiga bahan atau mengambil dua kad pemain lain dengan ‘lesen’ kad pegawai.
Terdapat juga kad aksi lain seperti pembekal yang membolehkan pemain meminta kad dengan bahan yang diingini.
Kad pemborong pula membolehkan pemain mengambil tiga bahan dari dek dan kad pencuri untuk mencuri bahan daripada pesaing.
Permainan kad NLTG boleh dimainkan sehingga tujuh orang dan mengambil masa selama setengah jam untuk satu pusingan permainan.
Selain idea permainan kad nasi lemak, Faculty of Fun juga merancang untuk menghasilkan lebih banyak lagi permainan fizikal yang membawa identiti Malaysia.
Kata Logan, fokus mereka adalah untuk mencipta wadah yang dekat dan boleh mengeratkan hubungan rakyat Malaysia, selain meneruskan budaya permainan kad serta papan.
“Permainan kad dan papan adalah salah satu aktiviti yang mengeratkan hubungan sesama bangsa.
“Ia secara interaktif menjadikan orang ramai lebih bersosial berbanding secara dalam talian.
“Kami membawa identiti Malaysia dalam permainan fizikal.
“Kami ingin membawa nama negara di mata dunia menerusi pendedahan secara interaktif,” ujarnya.














