fbpx
Sebahagian rider mendakwa mengalami kerugian apabila pelanggan COD enggan membuat pembayaran dengan membuat pelbagai alasan sebaik sahaja makanan tiba. – Gambar hiasan

‘Tempah makanan tetapi tak mahu bayar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perkhidmatan menghantar makanan melalui online menjadi lubuk bagi sebahagian pelanggan untuk makan percuma apabila menjadikan kaedah tunai atau cash on deli­very (COD) sebagai cara menipu rider.

Mereka sengaja memilih kaedah tersebut untuk memerangkap rider hingga kerugian lebih RM20 sehari dan menggunakan pelbagai alasan kerana enggan bayar harga makanan yang dipesan.

Ketua Aktivis Gabungan E-Hailing Malaysia, Jose Rizal berkata, ada juga kes di mana pelanggan tidak muncul-muncul menyebabkan rider perlu menanggung semua kos makanan tersebut.

“Kebanyakan kes melibatkan COD. Makanan yang telah siap biasanya tidak boleh dikembalikan kepada restoran atau pembekal dan ini bermakna rider pelu tanggung sendiri kos keseluruhan tempahan itu.

“Sebagai contoh nasi goreng kampung RM9, jika pelanggan tidak muncul atau senyap, ini bermakna kerugian bukan perlu ditambah dengan petrol RM2, kos penghantaran RM4, caj pembatalan tidak dipulangkan RM3 hingga RM5 dan masa,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Jose, satu pesanan tidak diambil melibatkan kerugian lebih RM20 dan jika ditipu sehingga dua kali akan menyebabkan masa kerja selama 12 jam sehari seseorang rider itu tidak berbaloi sama sekali.

Tambahnya, selain rugi, motivasi kerja seseorang rider pada hari berkenaan turut hilang hingga­ menjejaskan emosi dan mengganggu rentak kerja.

“Jika COD itu diteruskan, situasi itu akan menjadi lebih serius pada masa akan datang kerana ia turut melibatkan golongan penghantar barang yang lain,” ­katanya.

Ujar Jose, ada rider mem­be­ritahu mereka perlu menunggu sehingga 10 minit di depan rumah pelanggan kerana gagal dihubungi dan pada masa sama ada barang lain yang perlu dihantar.
“Mungkin ia tidak berlaku setiap hari tetapi jika tidak di­ta­ngani, lebih ramai yang ambil kesempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berwajib untuk membuat satu dasar yang komprehensif agar isu kerugian tersebut dapat ditangani segera.

“Hapuskan sistem COD dan galakkan pembayaran secara digital melalui perbankan atas talian. Ia boleh jadi satu langkah yang baik bagi mengatasi isu ­ri­der ditipu pelanggan.

“Kesedaran dan tanggungjawab keseluruhan ekosistem ekonomi gig ini harus diperkasakan untuk mendidik dan memberi kesedaran supaya ia tidak disalahgunakan,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN