KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir individu mendirikan solat di dalam banjir dan merakamkan perbuatan itu boleh menimbulkan penghinaan terhadap agama Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, umat Islam tidak perlu memudaratkan diri dalam usaha mendirikan solat.
“Asasnya jangan ada kemudaratan dan memudaratkan diri masing-masing, tidak kiralah solat fardu atau solat hajat sekalipun. Dalam Islam, itu kaedah yang diajar.
“Kita juga bimbang kalau perbuatan itu disalah fahamkan oleh masyarakat umum yang seolah-olah boleh membawa penghinaan kepada agama (Islam),” katanya.
Beliau berkata demikian di sini, hari ini ketika diminta mengulas tentang tindakan seorang lelaki yang mendirikan solat di dalam banjir di hadapan sebuah rumah, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di laman X, tindakannya itu telah menerima kecaman orang ramai.
Ia turut memaparkan kawasan tersebut dinaiki air sehingga mencecah paras lutut.
Mengulas lanjut Mohd. Na’im turut meminta orang ramai yang terlibat banjir tidak membahayakan diri dengan bermain air bah.
“Berhati-hati sebab kadang-kadang saya tengok dalam video ada yang main dalam banjir termasuk anak-anak kecil.
“Ia akan membahayakan nyawa mereka (anak-anak kecil) jadi kena hati-hati. Berjaga-jaga, Allah SWT berfirman, ‘jangan kamu campak diri kamu ke lembah kebinasaan’,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE