BALIK PULAU – Seramai 18 individu termasuk dua wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan merusuh angkara selisih faham sepasang kekasih, hujung minggu lalu.
Tertuduh iaitu, Khairul Ezham Khairul Eddy, 20, Muhammad Syafril Haikal Mohd. Fazli (20), Muhammad Aliff Aliman Mazlan (21), Mohammad Alif Ikhram Mohd. Hashim (23), Ahmad Afifuddin Selamat (25), Muhammad Asrul Nazrul Haizam (22) dan Mohd. Syafik Abdullah (20), Nornikman Noor Din (33), Nor Azira Zaidi (40) dan Ahmad Ameeruddin Selamat (22), mengaku bersalah di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Bagaimanapun, tertuduh lain iaitu Mohamed Ammar Mohamed Ghani, 19, Muhammad Aiman Ibrahim (19), Aszaifudin Hamid Mohaideen (19), Muhammad Nur Zuhairi Noordin (19), Muhammad Adzlie Hakim Muhammad Nasir (19), Muhamad Fahrien Addenan (19), Alyssa Sofieya Mazlan (19) dan Muhammad Nor Isma Haikal Nor Ismadi (20), tidak mengaku bersalah.
Masing-masing tertuduh terdiri daripada penganggur, pekerja kilang, pelajar kolej swasta dan institusi kerajaan, penghantar makanan serta pembantu kedai makan.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh adalah ahli suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama iaitu bergaduh dan melakukan kesalahan merusuh di Queens Water Front Q1, Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas, kira-kira pukul 2.30 pagi, 23 November lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dengan membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala semua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Edric Loo.
Dalam prosiding, Jin Hong menawarkan jaminan yang berbentuk pengajaran terhadap semua tertuduh memandangkan kes tersebut tidak sepatutnya berlaku di tempat awam termasuk di kawasan residen.
Sementara itu, Edric pula memohon mahkamah memberi jaminan paling minimum iaitu sebanyak RM1,000 seorang setelah mengambil kira faktor dan latar belakang semua tertuduh terbabit.
Mahkamah kemudiannya memutuskan denda sebanyak RM800 kepada setiap tertuduh yang mengaku bersalah manakala RM1,500 seorang pula dikenakan kepada tertuduh yang tidak mengaku bersalah bersama seorang penjamin.
Dalam pada itu, Muhammad Nor Isma turut membuat pengakuan tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 323 dan 326 Kanun Keseksaan serta pendakwaan tersebut dilakukan di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen.
Untuk kesalahan tersebut, mahkamah membenarkan jaminan masing-masing sebanyak RM1,500 dan RM8,000 dengan seorang penjamin. -KOSMO! ONLINE