KUALA LUMPUR – Kehadiran pengunjung di 22 buah muzium seliaan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menunjukkan peningkatan luar biasa setiap tahun bermula 2021.
Ketua Pengarahnya, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, peningkatan positif itu mula berlaku selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu apabila pelbagai inisiatif dilakukan pihak muzium dalam menggalakkan kehadiran pengunjung ke ‘gedung ilmu’ itu.
“Tahun 2021 kita sasar 300,000 pengunjung, namun kita berjaya capai 359,265 pengunjung. Tahun 2022 meningkat kepada 1.46 juta pengunjung dan kemudian meningkat sekali lagi kepada 2.18 juta pengunjung pada 2023.
“Dan tahun ini saya yakin kita boleh capai sekitar 2.3 juta pengunjung, memandangkan setakat 31 Oktober kita sudah capai lebih 2.18 juta pengunjung iaitu lebih 180,000 daripada sasaran tahun ini yang ditetapkan 2 juta pengunjung,” ujarnya.
Katanya, situasi tersebut sekali gus membuktikan muzium masih relevan sehingga ke hari ini dan menjadi lokasi kegemaran setiap lapisan masyarakat sama ada pengunjung tempatan mahupun pelancong asing.
“Setiap minggu muzium kena serbu, sama ada dari rombongan atau pengunjung persendirian dan secara keseluruhan, pengunjung setiap tahun melebihi sasaran ditetapkan.
“Antara muzium popular, Muzium Negara, Rumah Agam Peranakan Pulau Pinang, Muzium Wonderfood, Muzium Budaya Borneo dan Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia,” katanya baru baru ini.
Kata Kamarul Baharin, Malaysia sememangnya sarat dengan pelbagai cerita sejarah dan di muzium juga ditampilkan keunikan warisan seni budaya serta pembangunan negara.
“JMM sendiri sentiasa menawarkan pelbagai program menarik untuk menjadikan muzium sebagai tempat pelancongan,” jelas beliau.














