fbpx
Beberapa ahli SPIA berjaya mendaratkan ikan bandaraya di sebatang sungai.

Komuniti buru ikan ‘perosak’ selamatkan ekosistem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUDAH menjadi kebiasaan buat Mohamad Haziq A. Rahman, 33, untuk pergi memancing bagi mengisi masa terluangnya.

Namun, setiap kali memancing, jorannya sering ‘diragut’ oleh ikan bandaraya.

“Saya geram kerana setiap kali memancing pasti akan dapat ikan bandaraya dan ia bukan spesies yang saya mahu.

“Disebabkan rasa geram dan marah, saya terfikir cara untuk menghapuskan ikan bandaraya ini.

“Kemudian, saya mengambil keputusan menjala ikan bandaraya bagi mengurangkan populasinya di dalam sungai,” katanya kepada K2.

Lama-kelamaan ada rakan-rakan lain turut bersama Mohamad Haziq melakukan kerja mulia tersebut.

Hal ini kerana, mereka juga mempunyai pengalaman yang sama iaitu memancing tetapi sering dapat ikan bandaraya.

Rentetan itu, Mohamad Haziq dan rakan-rakannya mengambil keputusan menubuhkan kumpulan dikenali sebagai Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA).

Tujuan utama kumpulan tersebut adalah untuk menyelamatkan ekosistem sungai di Malaysia daripada ancaman ikan asing.

“Sebelum ini, kami hanya fokus kepada ikan bandaraya sahaja, sehingga tertubuhnya komuniti pemburu ikan tersebut.

“Namun sejak Oktober lalu, kami telah bekerjasama dengan Jabatan Perikanan dan mengubah skop pemburuan kepada semua ikan asing.

“Maknanya, kami tidak lagi fokus kepada ikan bandaraya sahaja.

“Sebaliknya, kami turut memburu ikan asing lain seperti talapia hitam, keli afrika, baung ekor merah, peacock bass dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Ikan-ikan asing tersebut banyak mendiami sungai di negara ini sehingga menjejaskan mata pencarian nelayan darat.

Untuk makluman, nelayan darat tertumpu kepada usaha menangkap ikan sungai untuk dijual.

Namun, disebabkan ikan asing mendominasi sungai di negara ini, nelayan darat sukar menangkap ikan seperti baung ekor kuning yang mempunyai nilai tinggi di pasaran.

“Apabila ikan asing ini ada di dalam sungai kita, ia akan makan ikan lain yang ada.

“Jadi, apabila ikan asing ini membiak, ia akan memberi ancaman kepada spesies tempatan yang diburu oleh nelayan air tawar,” terangnya.

Mohamad Haziq menjelaskan, ikan asing tersebut sebenarnya bukan berasal dari negara kita.

Kebanyakan ikan asing itu dibawa masuk untuk dijadikan sebagai hiasan, sebelum akhirnya dilepaskan di sungai-sungai kita.

Akhirnya, ikan asing tersebut membiak dengan banyaknya sehingga memberi ancaman kepada ikan air tawar lain.

Untuk makluman, ikan bandaraya dan talapia sering memakan telur ikan lain.

Jadi, sekiranya ikan asing tersebut terus membiak tanpa kawalan, tidak mustahil ikan air tawar tempatan akan pupus pada suatu hari nanti.

Salah satu spesies ikan asing yang berbahaya adalah baung ekor merah. Ikan berkenaan akan makan apa saja di depannya termasuk udang galah.

Situasi ini boleh menjejaskan nelayan darat yang mencari udang galah untuk dijual.

Dalam pada itu, Sungai Damansara di Selangor telah dikenal pasti sebagai salah satu ‘kawasan merah’ kerana mempunyai banyak ikan asing.

Mohamad Haziq dan rakan-rakannya pernah menaikkan lebih satu tan ikan asing dalam tempoh dua jam sahaja di Sungai Damansara.

Ikan asing yang berjaya dinaikkan adalah ikan bandaraya, talapia dan lain-lain lagi.

Mengulas lanjut, Mohamad Haziq berkata, hampir setiap hari, komuniti SPIA akan keluar memburu ikan asing.

Kumpulan SPIA memburu ikan-ikan asing dengan menggunakan jala.

“Kami akan ‘pusing’ satu Semenanjung jika mendapat maklumat daripada orang awam tentang adanya ikan asing di sungai mereka.

“Selain itu, kami sering melaksanakan program pada hujung minggu bersama sukarelawan yang ingin sama-sama turut serta.

“Biasanya, kami akan hebahkan di media sosial tentang setiap program yang akan dilaksanakan dan mereka berminat boleh turut serta,” jelasnya.

Kaedah yang digunakan untuk memburu ikan asing adalah menjala dan pukat lintang kerana dilihat lebih efisien.

Sementara itu, antara cabaran yang dihadapi oleh komuniti tersebut adalah kekangan dari segi logistik.

“Sebenarnya dalam satu hari, kami boleh dapat banyak ikan asing. Namun, kami mempunyai masalah dari segi logistik untuk pelupusan.

“Ahli yang aktif pula tidak ramai iaitu sekitar empat hingga 10 orang sahaja.

“Jadi, kami terpaksa hadkan jumlah tangkapan ikan bagi memudahkan urusan logistik.

“Biasanya, jika turun memburu ikan asing, kami hadkan jumlah maksimum tangkapan iaitu satu tan sahaja.

“Jika lebih daripada jumlah yang dihadkan, kami akan berhadapan dengan masalah logistik,” terangnya.

Sebelum ini, ikan asing yang ditangkap dilupuskan dengan cara ditanam begitu sahaja.

Namun kini, mereka mendapati bahawa ikan asing ditangkap mempunyai potensi lain yang boleh dikembangkan.

Misalnya, ikan bandaraya boleh dijadikan salah satu bahan protein atau diproses menjadi palet untuk makanan ikan. Selain itu, ikan asing tersebut boleh dikompos untuk dijadikan baja tanaman.

“Ikan asing ini akan ditanam di tempat khas. Selepas itu, ia akan digunakan kembali untuk tujuan lain.

“Selalunya, ikan bandaraya akan diproses untuk dijadikan palet dan baja.

“Hal ini kerana, orang tidak makan ikan bandaraya. Ia berbeza dengan ikan asing lain seperti talapia dan lampam jawa yang sering dijadikan santapan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN