KEBELAKANGAN ini, kecoh dalam industri hiburan dengan kes buli artis senior terhadap pelakon junior.
Sebenarnya, kalau dilihat kembali isu buli ini, ia bukan perkara baharu kerana tindakan terbabit berlaku di mana-mana sahaja termasuk di universiti.
Fokus lebih perlu diberikan dalam bidang seni yang mana menjadi satu isu besar dalam lingkungan pelakon apabila ada yang tidak setuju dengan terma buli.
Semuanya bermula apabila pendatang baharu, Alif Muhaimin mendedahkan pernah berdepan ituasi dibuli kru produksi hingga membuatkannya ingin berhenti berlakon.
Selepas pendedahan tersebut, aktres Siti Khadijah pula tampil mengakui pernah menjadi mangsa buli apabila dicampak skrip pada awal kemunculan sebagai pelakon.
Bagaimanapun, beberapa pelakon senior seperti Ahmad Idham, Rita Rudaini, Nabila Huda dan Lana Nodin menyifatkan pelakon baharu terlalu manja, selain menafikan dakwaan kes buli dalam industri seni.
Menurut Sophia Albarakbah yang juga boleh dikategorikan sebagai pelakon baharu tidak bersetuju dengan kejadian buli yang wujud dalam indsutri kerana tidak pernah melihat perkara tersebut terjadi di hadapan matanya.
“Berdasarkan pengalaman dan juga pemerhatian saya, tiada pun kes buli antara pelakon senior dan junior.
“Malah, kebanyakan pelakon senior banyak membantu serta kongsi pengalaman dalam bidang seni. Tak pernah lagi saya nampak depan mata sendiri ada artis senior buli,” katanya baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman, Sophia yang disapa Sophie itu mengakui agak risau dengan pelakon senior pada awal penglibatan tetapi berjaya memberanikan diri untuk berbuat baik dengan artis lain.
“Pertama kali nak masuk set penggambaran memang saya agak takut dan fikir pelakon senior sombong tetapi bila mula kenal mereka sememangnya baik.
“Bagi saya, sebagai junior kita perlu hormat mereka dan mula bertegur sapa dengan artis senior. Secara tak langsung mereka juga akan berbuat baik dengan kita.
“Kemungkinan pelakon junior dibuli kerana tidak beramah mesra,” ujarnya.
Pada masa sama, pelakon berusia 31 tahun itu turut menasihatkan pelakon baharu supaya menghormati artis senior selain menjadikan selebriti lain sebagai rujukan dalam bidang lakonan.
“Sebagai pelakon junior, perlu ada rasa hormat kepada artis senior kerana mereka banyak ilmu. Jangan bazirkan peluang tersebut untuk menimba ilmu daripada mereka. Banyak boleh tanya terutama sekali mengenai lakonan.
“Apabila kita banyak memberi, mereka juga tiada banyak rungutan dan memberikan layanan baik,” ujarnya.














