BAGI Mohd. Haniff Salleh, 41, biarpun peristiwa itu sudah begitu lama berlalu, namun dia sama sekali tidak dapat melupakan perasaan tatkala melihat wau buatan tangan arwah datuknya diterbangkan tinggi di langit biru.
Anak kelahiran Kampung Pintu Geng, Kota Bharu, Kelantan itu yang juga merupakan pembuat wau termuda di Kelantan mengakui berasa cukup bangga apabila melihat wau datuknya itu dilayangkan dan mengakui mempunyai banyak memori indah bersama wau.
Justeru, tidak hairanlah Mohd. Haniff kini mengikut jejak datuknya dan sanggup menghabiskan masa sehingga lewat malam untuk menyiapkan tempahan wau yang diterima di bengkel wau miliknya yang dikenali sebagai Basawa.
Bahkan, sejak pandemik Covid-19, Mohd, Haniff turut memuat naik kandungan berkenaan wau di platform media sosial seperti TikTok, sebagai usaha untuk memastikan permainan tradisional yang begitu diminatinya itu terus relevan.
Dijuluki sebagai pembuat wau termuda di negeri Cik Siti Wan Kembang sementara pembuat-pembuat wau yang lain di usia 60-an, Mohd. Haniff banyak mempopularkan wau di media sosial.
Sama seperti sebuah hamparan lukisan, sebiji wau tradisional yang dihasilkan seorang pembuat wau miliki nilai estetika sendiri, menjadikan permainan itu amat popular dan cukup dihargai di Kelantan.
Menceritakan bagaimana minat membuat wau timbul dalam diri, Mohd. Haniff memberitahu dia sememangnya sudah ada kemahiran membuat wau tradisional Kelantan sejak kecil lagi, namun hanya betul-betul menumpukan terhadap seni pembuatan wau sewaktu pandemik.
“Pada 2020, ketika negara mengalami perintah berkurung, barulah saya ada masa untuk kembali membuat wau.
“Ketika itu juga, saya banyak memuat naik kandungan berkenaan wau di media sosial dan saya melihat ramai anak muda khususnya yang mula menunjukkan minat terhadap wau,” ujarnya kepada Panorama.
Biarpun sudah hasilkan wau sejak 2020, Mohd. Haniff yang juga merupakan perunding jurujual bagi syarikat kereta import itu bagaimanapun hanya mula menjadikan seni pembuatan wau sebagai punca pendapatan sampingan sejak dua tahun lalu, apabila mula perlahan-lahan menerima tempahan daripada mereka yang sukakan kerja tangannya yang kemas.
Menerusi akaun TikTok @mohdhaniffsalleh Pewaris wau Kelantan, lelaki itu kerap berkongsi video di sebalik tabir suasana bengkel pembuatan wau.
Beberapa pengguna TikTok juga ada menunjukkan minat terhadap wau yang dihasilkan Mohd Haniff, dengan bertanyakan tentang harga dan bagaimana mahu membelinya.
Mohd. Haniff berkata, dia menghasilkan dua jenis wau iaitu wau bulan dan wau puyuh, yang merupakan jenis wau yang cukup popular di Kelantan.
“Kedua-kedua jenis wau ini mempunyai perbezaan dari segi bentuk ‘body’ atau badannya, namun wau puyuh lebih digemari di Kelantan.
“Wau puyuh juga sesuai buat mereka yang mahukan permainan wau yang lebih agresif,” katanya yang banyak menerima tempahan daripada mereka di luar Kelantan.
Menyentuh proses pembuatan wau, Mohd. Haniff berkata, ia satu proses mencabar, memandangkan tukang wau perlu memastikan wau itu kuat dan mampu bertahan apabila ditiup angin kencang.
Rangka pada sebiji wau dihasilkan menggunakan batang buluh yang kemudiannya diikat dengan tali.

Bagi motif pada wau pula, Mohd. Haniff berkata, dia menggunakan kertas pelbagai warna sebelum mencantumkannya pada bingkai dengan menggunakan gam khas.
Sebiji wau mengambil masa antara seminggu hingga tiga bulan untuk disiapkan, bergantung kepada saiz dan tahap kerumitannya.
Memandangkan terikat dengan kerja lain, Mohd. Haniff berkata, dia menetapkan kuota antara 10 hingga 15 wau sahaja untuk sebulan.
Mengakui harga wau yang dijualnya adalah sedikit tinggi, Mohd. Haniff bagaimanapun percaya harga yang ditetapkan itu adalah sesuai dengan hasil kerjanya yang kemas dan teliti.
Selain itu katanya, nilai wau juga terletak pada bunyi yang dihasilkan saat dimainkan.
“Harga wau yang saya letakkan adalah sesuai dengan proses pembuatannya.
“Bagi saya, wau ini adalah satu kraf seni yang tidak mempunyai satu harga spesifik. Ini kerana nilainya bergantung kepada kerja tangan tukang wau itu sendiri.
“Wau dengan bunyi yang ‘sedap’ dan berkualiti juga sudah tentu dijual pada harga yang agak tinggi,” katanya yang menetapkan harga wau antara RM350 hingga RM450 sebiji.
Sebagai seorang pembuat wau yang berusaha menarik minat orang ramai untuk meminati permainan tradisional itu, Mohd. Haniff mengakui teruja apabila semakin ramai berminat dengan permainan itu.
“Bagi penduduk Kelantan seperti saya, permainan wau ini sudah menjadi satu gaya hidup.
“Pada setiap Jumaat, ia akan dimainkan oleh pemain wau beramai-ramai di beberapa lokasi seperti di Pantai Geting di Tumpat, Pantai Terang Laut di Bachok dan juga Pantai Mek Mas Kota Bharu.
“Justeru, saya teruja apabila mendapat tahu bahawa permainan ini diminati oleh golongan muda, menjadikan saya bersemangat untuk menghidupkan semula permainan tradisional ini,” katanya.
Mohd. Haniff juga menganjurkan kelas membuat wau buat pelajar-pelajar di sekolah menengah dan sekolah rendah di Kelantan, sebagai memupuk minat mereka terhadap seni kraf tangan itu.
Bagi Mohd. Haniff, ia sebahagian daripada tanggungjawabnya untuk sama-sama berkongsi kemahiran dan pengetahuan kepada generasi baharu dalam usaha menghidupkan permainan tradisional itu.














