PENJUALAN cecair magic mushroom atau flavour mushroom dikesan masih dijual secara berleluasa di beberapa platform e-dagang. – GAMBAR HIASAN

Buatlah urin macam mana pun, sukar nak sangkut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Penggunaan cecair ‘magic mushroom’ sukar dikesan melalui kit ujian urin di negara ini kerana dipercayai mengandungi dadah sintetik atau dadah-dadah baharu yang dicipta dengan mengubah struktur kimia pada dadah terkawal.

Pegawai Farmasi Pusat Racun Negara (PRN), Mohd. Fadhli Razali berkata, belum ada kit ujian urin bagi mengesan dadah dalam bentuk cecair jenis magic mushroom menjadikan diagnosis serta rawatan yang tepat sukar diberikan sekiranya berlaku kera­cunan.

Kata beliau, ia sama ada kit ujian urin tersebut belum ada di pasaran atau memerlukan kos yang tinggi.

“Setakat ini belum ada ujian urin yang boleh kesan (magic mushroom), kecuali sampel itu dihantar untuk dianalisis di makmal yang akan memakan masa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, PRN juga telah melakukan kajian terhadap beberapa sampel cecair vape magic mushroom yang dibeli secara dalam talian, ejen, dan diperoleh daripada sampel kes.

“Kajian menunjukkan tiada dadah jenis psilosibin dikesan di dalam sampel tersebut tetapi mengandungi dadah sintetik yang lebih berbahaya dan boleh menyebabkan gejala keracunan teruk serta berpotensi membawa maut,” ujarnya.

Psilosibin merupakan bahan aktif utama di dalam spesies cendawan dalam genus Psilocybe yang a merupakan bahan aktif halusinogen yang sangat kuat dan lebih dikenali sebagai magic mushroom.

Antara nama lain cecair vape magic mushroom adalah ‘flavor mushroom’, ‘flavour pening’, ‘flavour rancak’ dan ‘flavour padu’, walaupun sebenarnya kesan kesihatan yang terhasil berpunca bahan aktif dadah sintetik yang dicampur ke dalam cecair vape, bukan merujuk kepada perisa vape.

Katanya, penemuan tersebut menunjukkan peranti vape sangat mudah dimanipulasi dan penggunaan vape tanpa kawalan ketika ini boleh menjurus kepada penyalahgunaan dadah berbahaya termasuk dadah sintetik baharu, ketamin, phencyclidine serta dadah jenis amphetamine.

Katanya, penjualan cecair magic mushroom di beberapa platform e-dagang telah disekat, namun masih belum boleh dikawal di media sosial.

“Diharap pihak berkuasa dapat membanteras penjualannya seperti Facebook, Instagram dan TikTok,” katanya.

Pada 19 November lalu, Kosmo! melaporkan lebih ramai golongan muda dikhuatiri mengalami psikosis atau gangguan mental angkara magic mushroom. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN