GUA MUSANG – Lebih 1,300 penduduk Kampung Limau Kasturi di sini yang tinggal berdekatan Sungai Galas membuat persiapan berdepan bencana banjir dengan membaik pulih rumah rakit bagi menyimpan barangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda, 57, berkata, inisiatif itu dibuat penduduk selepas bencana bah kuning 10 tahun lalu yang mengakibatkan mereka kerugian besar kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda.
Katanya, dianggarkan 80 rumah rakit disediakan penduduk berhampiran setiap rumah di kawasan rendah dan tebing sungai.
“Rumah rakit itu dibuat sendiri dengan kos dari RM2,500 hingga lebih RM3,000,” katanya di sini semalam.
Seorang penduduk, Che Mas Abdul Latiff, 53, berkata, dia mengeluarkan kos RM7,000 bagi membina rumah rakit tersebut.
Katanya, dia membuat persiapan awal termasuk menyimpan pakaian dan tilam di rumah rakit.
“Saya membuat rumah rakit yang kukuh menggunakan kerangka bumbung aluminium.
“Penduduk tidak kisah menyediakan belanja besar membuat rumah rakit bagi menyelamatkan nyawa ahli keluarga dan harta benda ketika banjir,” katanya.














