JOHOR BAHRU – Usia emas bukan penghalang buat seorang bekas pesara kerajaan untuk mengejar impiannya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sekalipun telah berusia 62 tahun.
Dr. Abd. Jalil Hassan berkata, dia memulakan usaha mendapatkan PhD sejak 2016 sebagai satu cara untuk kembali berbakti kepada masyarakat melalui perkongsian ilmu pengetahuan.
“Saya merupakan seorang jurutera dan berkhidmat di Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) sebelum memilih bersara awal bagi memulakan syarikat perunding kejuruteraan sendiri.
“Sepanjang lebih 30 tahun dalam bidang ini, banyak ilmu dipelajari dan saya merasakan cara terbaik untuk menyumbang semula adalah melalui perkongsian dengan pengiktirafan akademik.
“Usia bukan penghalang, sebaliknya individu berusia dan mempunyai banyak ilmu dan pengalaman perlu digalak menyambung pengajian, bukan terus bersara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen ke-68 Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini semalam.
Abd. Jalil memberitahu, antara cabaran yang dihadapi dalam menggenggam PhD itu adalah kekangan pergerakan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
Perkara sama turut dikongsi graduan antarabangsa dari India, Dr. Maroti Khokale, 66, yang menyatakan hasrat untuk menjadi tenaga pengajar selepas menggenggam PhD dalam bidang Pengurusan Strategik.
Katanya, dia menetap di Malaysia sejak 18 tahun lalu dan berpengalaman dalam industri minyak dan gas selama lebih 40 tahun.
“Walaupun telah lama dalam sesuatu bidang, tetapi masih banyak cabang ilmu baharu yang boleh dipelajari khususnya dalam bidang minyak dan gas.
“Jadi usia bukanlah penghalang bagi seseorang menimba ilmu, saya sendiri berdepan pelbagai cabaran termasuklah masalah kesihatan sehingga terpaksa menangguhkan pengajian selama setahun,” jelasnya yang kini menetap di Kuala Lumpur.
Abd. Jalil dan Maroti Khokale merupakan antara 584 graduan PhD yang menamatkan pengajian pada Majlis Konvokesyen ke-68 UTM.
















