Kesungguhan Malaysia untuk mendapatkan pesawat pejuang F/A-18 Hornet dari Kuwait dalam usaha untuk memperkasa dan meningkatkan kesiapsiagaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akhirnya dikatakan mendapat lampu hijau kerajaan negara itu.
Walaupun pesawat dalam kategori Multirole Combat Aircraft (MRCA) Kuwait itu dikatakan sudah agak berusia dan bakal berdepan pelbagai cabaran tersendiri sekiranya dibeli, namun ia sebenarnya masih berupaya menjaga kedaulatan ruang udara negara selain bakal melengkapkan armada F/A-18 Hornet milik TUDM.
Secara teknikalnya, semua pesawat itu dikatakan masih dalam keadaan baik dan sekiranya menjadi kenyataan, mungkin pembeliannya yang dianggap sebagai langkah sementara oleh TUDM sebelum meneruskan pemodenan program MRCAnya kelak boleh dikatakan berbaloi dengan harga yang terjangkau.
Ketika ini, Kuwait dikatakan memiliki 39 buah F/A-18 versi C dan D yang mula diterima pada 1992 hingga 1993 berbanding TUDM yang hanya mengoperasikan lapan buah F/A-18D sejak 1997. Jujurnya, perolehan F/A-18 Hornet Kuwait yang dianggap ‘langkah sementara’ itu sebenarnya masih berupaya meningkatkan kesiapsiagaan tempur TUDM walaupun agak berusia.
Pada masa yang sama, ia mampu meningkatkan jumlah pesawat tempur TUDM dengan menggantikan pesawat MiG-29 yang ditamatkan perkhidmatannya selain berupaya untuk bergandingan dengan pesawat pejuang sedia ada seperti Su-30MKM, F/A-18D, Hawk dan pesawat pejuang ringan FA-50 buatan Korea yang bakal tiba tidak lama lagi.
Bagaimanapun, beberapa aspek lain seperti langkah untuk naik taraf serta meningkatkan keupayaan pesawat terpakai itu meliputi sistem avionik serta sistem persenjataan perlu diperhalusi agar tidak terlalu jauh ketinggalan.
Proses naik taraf pesawat itu perlu dilakukan secara teliti supaya hasrat TUDM untuk mengoperasikannya sehingga 2040 benar-benar tercapai. Harus diingat, Hornet Kuwait adalah daripada Blok yang lebih awal berbanding Hornet yang dimiliki TUDM. Jadi sudah tentu banyak kerja yang perlu dilakukan kerana usianya telah menjangkau 32 tahun.
Pada masa yang sama, kita juga berharap kos untuk menaik taraf atau penyelenggaraan pesawat itu kelak tidaklah terlalu tinggi dan seharusnya ia perlulah jauh lebih rendah berbanding jika kita membuat keputusan untuk membeli pesawat MRCA terkini seperti Rafale, Eurofighter Typhoon, Super Hornet, JAS-39 Gripen mahupun F-35.
Paling penting, kita tidak mahu sejarah pembelian pesawat pejuang terpakai A4 Skyhawk berulang. Saya pasti TUDM telah banyak belajar daripada kesilapan pembelian pesawat terpakai A-4 Skyhawk.
Cuma, apa yang berlegar di pemikiran ketika ini ialah, pesawat apa yang bakal dibeli TUDM untuk pemodenan program MRCA selepas 2040 nanti? Apapun pilihan yang bakal dibuat kelak, kalau boleh janganlah kita terlalu ketinggalan dengan negara-negara jiran kita.
















