fbpx
Diberi review hampir 5 bintang oleh para penginap, rumah kayu buruk di Bangkok, Thailand itu begitu popular sehingga banyak biliknya yang sudah ditempah penuh untuk penginapan sehingga tahun 2026.

Rumah buruk jadi buruan, tawar penginapan RM2.50 semalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKALI pandang, pasti ramai yang tertanya-tanya, siapa agaknya yang sanggup bermalam di rumah buruk itu yang pada luarannya nampak cukup meragukan dari pelbagai aspek seperti kebersihan dan keselamatan.

Hakikatnya, kediaman milik seorang lelaki muda yang hanya dikenali sebagai Supoj itu sudah pun disewakan sejak tahun 2017 dan sehingga kini menjadi antara bilik sewa Airbnb paling popular di Bangkok, Thailand khususnya dalam kalangan pelancong luar Thailand. Harga yang cukup rendah iaitu antara 19 hingga 360 baht (RM2.50 hingga RM47) bagi satu malam menjadikan kediaman tujuh bilik yang terletak berdekatan stesen MRT Bang Khun Non itu menjadi buruan ramai.

Melihat struktur seni binanya, bangunan tersebut merupakan sebuah rumah kayu usang yang biasa ditemui di Thailand.

Bahkan, dari luaran, ramai yang barangkali menyangka rumah tersebut merupakan sebuah rumah berhantu dan tidak sanggup untuk tinggal di situ walaupun harganya murah.

Namun, siapa sangka rumah itu kini menjadi buruan ramai dan sebahagian daripada biliknya sudah ditempah penuh dan tiada kekosongan sehingga 2026.

Seorang wanita yang hanya memperkenalkan diri sebagai Maria dari Filipina menyifatkan pengalaman tinggal di bilik penginapan Supoj itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diperoleh di mana-mana.

“Bilik sewa saya iaitu Bilik 4 berada dalam keadaan bersih, luas dan terlindung daripada air hujan.

“Tekanan air di tandas dan kawasan mencuci juga cukup kuat, manakala sambungan internetnya juga laju.

“Supoj juga sangat proaktif dalam menyelesaikan isu-isu kecil seperti lampu dan span mencuci pinggan di dapur, malah dia juga gemar berkongsi snek bersama penghuni yang lain. Saya amat menyarankan anda untuk menyewa premisnya,” komen Maria.

Tilam untuk penginapan turut disediakan bersama kelambu nyamuk.

Seorang lagi penyewa, Mikhail berkongsi oleh kerana harga sewa Supoj cukup murah, dia mampu menjimatkan banyak wang sepanjang menginap di situ.

“Saya dapat menjimatkan wang untuk penginapan sepanjang berada di Bangkok.

“Supoj juga amat baik, sopan dan saya pastinya akan kembali lagi ke sini sekiranya masih ada bilik untuk saya,” ujarnya yang merujuk kepada populariti bilik sewaan Supoj.

Memetik laman Vision Thailand, ketika ini, seramai 10 orang penghuni sedang menginap di kediaman tersebut, yang mana kebanyakannya merupakan penghuni jangka panjang.

Kediaman dua tingkat milik Supoj itu mempunyai tujuh buah bilik yang mana salah satu daripadanya dihuni Supoj sendiri.

Jelas lelaki itu, dia mewarisi kediaman usang itu daripada bapa saudaranya.

Mengakui dirinya merupakan seorang yang penakut dan bimbang tinggal seorang diri, dia mula terfikir untuk menyewakan kediaman tersebut sebagai Airbnb pada harga yang cukup murah dan tidak masuk akal dengan harapan agar dia mempunyai teman yang tinggal bersamanya.

“Keuntungan bukanlah motif utama saya. Saya cuma mahu berkenalan dengan orang ramai dan mencipta satu pengalaman unik bersama mereka.

“Biarpun rumah ini nampak usang dan meragukan, namun mereka yang tinggal di sini semuanya baik-baik belaka,” katanya.

Seorang pelancong asing iaitu YouTuber dari Denmark yang menginap di situ meluahkan rasa gembira.

Supoj juga memaklumkan bahawa di Thailand, belum ada mana-mana individu lagi yang menyewakan premis usang sebegitu kepada orang luar.

Oleh sebab itu, Supoj berhasrat untuk memperkenalkan cara hidupnya kepada orang luar.

“Hakikatnya, bagi kebanyakan penduduk Thailand, inilah cara hidup kami. Justeru, apabila orang luar datang menginap bersama saya, mereka dapat merasai sendiri pengalaman dan kehidupan sebenar seorang penduduk Thailand,” katanya.

Supoj juga menyifatkan mereka yang tinggal bersamanya dianggap sebagai ahli keluarganya sendiri.

“Apabila anda menginap bersama saya, fikirkan saya sebagai ahli keluarga anda sendiri.

“Dengan saya, anda bebas untuk berkongsi semuanya sama ada pendapat atau perasaan anda,” katanya.

Rumah itu dilengkapi dengan keperluan asas seperti bilik tidur, kipas, tandas kongsi, ruangan dapur dan sambungan Wi-Fi.

Namun, sesuai dengan harga dan keadaannya, kebanyakan bilik hanya mempunyai tilam yang diletakkan di atas lantai, beserta kelambu nyamuk, untuk pengalaman penginapan rumah usang yang asli.

Seorang YouTuber Denmark, Mikkel Alyd yang merekodkan pengalamannya tinggal di Bilik 2 Airbnb Supoj selama satu malam menyifatkan ia satu pengalaman berbeza, namun patut dicuba.

“Ketika mencari bilik sewa di Bangkok, saya sengaja membuat tetapan untuk mencari bilik dengan harga paling murah dan dari situ saya mendapat tahu tentang Airbnb milik Supoj.

“Biarpun harganya tak masuk akal, namun saya berpuas hati keadaan biliknya bahkan berjaya tidur lena.

“Sejujurnya, saya rasa sesiapa pun boleh tinggal di sini sehingga satu minggu tanpa sebarang masalah memandangkan kawasannya tidak bising, sesuai buat mereka yang mahukan tempat tinggal asli Thailand pada harga yang cukup murah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN