BERDASARKAN temu ramah dengan mereka yang berjaya, amat berpengalaman serta terlibat secara langsung dalam industri fesyen di Malaysia, mereka berpendapat kejayaan mereka dalam industri ini juga adalah bertitik tolak usaha mereka mengekalkan hubungan komunikasi yang efektif dan baik sama ada dengan rakan sekerja atau pelanggan.
Ketajaman intuisi fesyen dan kepekaan terhadap keindahan alam sekeliling secara umumnya menjadi inspirasi serta kunci utama kejayaan. Rekaan yang bagus tidak sekadar mengikut kata hati semata-mata, tetapi meliputi kehebatan penyelidikan, uji kaji, inspirasi dan kecekapan mentafsirkan aliran yang bakal jadi ikutan berdasarkan perubahan demografi dan gaya hidup manusia.
Analisa inilah yang akan memberi gambaran rekaan yang mungkin diperlukan pengguna masa depan. Mereka menggariskan beberapa masalah yang selalunya dihadapi oleh pereka muda.
Kreativiti
Perlu difikirkan menjadi kreatif sahaja tidak mencukupi. Pereka harus tahu bagaimana untuk menjana kreativiti. Tidak semua insan kreatif dapat membawa seni ke tahap yang lebih tinggi atau dapat menggunakan kemahiran mereka sebagai sesuatu yang boleh menjana ekonomi.
Kurang pendedahan
Antara sebabnya adalah segelintir mereka melihat rekaan fesyen sebagai suatu luahan idea dan bakat semata-mata. Mereka kurang menerima pendedahan membabitkan aspek-aspek dan peluang perniagaan yang berkaitan dengan bidang fesyen selari dengan kehendak pasaran semasa. Mereka juga perlu sedar bahawa kreativiti, kemahiran dan bakat jika digunakan dengan bijak boleh menangani krisis kewangan.
Cepat berjaya
Kebanyakan pereka mahu terkenal dan berjaya dalam masa sekelip mata! Masalahnya? Tiada cara untuk berjaya dalam masa yang singkat. Kejayaan tidak datang dengan sebegitu mudah, kita perlu untuk mempunyai kesungguhan dan bersedia bekerja untuk mengecapinya.
Gemar eksperimentasi
Pereka muda selalunya terlalu bereksperimentasi dalam rekaan hingga lupa siapakah sasaran pelanggan mereka yang sebenar. Mereka perlu faham apa yang mereka hasilkan itu selalunya amat sukar untuk dipasarkan. Secara luar sedar, mereka sebenarnya hasilkan rekaan untuk diri mereka sendiri, oleh itu masa dan wang diperuntukkan untuk sesuatu projek itu terbuang begitu saja dan ini selalunya merugikan syarikat yang mengambil mereka bekerja.
Kurang kemahiran PR
Kurangnya kemahiran komunikasi (PR Skills). Sememangnya sebahagian besar daripada industri fesyen amat bergantung kekuatan hubungan antara pereka dan klien, majikan atau media (press) – penyebar maklumat tentang berita fesyen terbaharu pereka kepada masyarakat. Oleh itu, adalah menjadi masalah kepada industri jika pereka tidak boleh menyampaikan mesej atau tidak boleh untuk menerang serta mempertahankan hasil karya mereka.














