RAUB – “Saya terjaga daripada tidur sebab bekalan elektrik terputus, turun sahaja dari katil sudah rasa air banjir berada di paras betis.”
Demikian ujar warga emas, Favilah Hasim, 65, ketika menceritakan detik cemas kejadian banjir yang berlaku di Kampung Tok Machang, dekat sini kira-kira pukul 3 pagi semalam.
Ujarnya, sebaik menyedari kediaman dinaiki air, dia terus mengalihkan dokumen dan barangan penting ke tempat lebih tinggi.
“Hujan lebat kira-kira pukul 1.30 pagi menyebabkan air dari anak sungai berhampiran naik terlalu cepat.
“Mak cik hanya tinggal seorang diri di rumah, dengan kudrat yang ada mak cik berusaha juga mengangkat mesin basuh ke tempat selamat bagi mengelakkan ia rosak terendam air banjir,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Amirul Zurith Jaafri, 32, berkata, dia tidak menyangka air naik terlalu cepat hingga menyebabkan kediamannya tenggelam sehingga paras dada.
“Saya terjaga tengah malam sebab hujan lebat luar biasa, jadi saya bertindak mengalihkan kereta dan motosikal ke tempat selamat.
“Namun begitu, saya tidak sempat mengalihkan barangan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh dan buku sekolah anak. Jumlah kerugian pun saya tidak pasti kerana banyak barang yang rosak,” katanya.
Sementara itu, gelombang kedua banjir mula melanda Pahang apabila seramai 153 mangsa daripada 45 keluarga di Kampung Tok Machang dan Kampung Ulu Gali dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 3.30 petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Raub berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 3.45 pagi berhubung kejadian.
“Seramai 95 mangsa banjir daripada 26 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Tok Machang, manakala di PPS Dewan Orang Ramai Ulu Gali menempatkan 26 mangsa daripada lapan keluarga.
“Di PPS Kemas Ulu Gali Tengah pula seramai 33 mangsa daripada 11 keluarga,” tambahnya.














