PETALING JAYA – Syarahan Umum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Al-Azhar memperkukuh hubungan strategik Malaysia dengan institusi ilmu Islam ulung dunia tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pada masa sama ia pengiktirafan besar Universiti Al-Azhar kepada ketokohan dan kepimpinan Perdana Menteri.
“Sebagai sebuah institusi ilmu Islam membawa manhaj kesederhanaan yang menjadi asas ketamadunan ummah, Universiti Al-Azhar telah memberi sumbangan besar dalam menyatupadukan umat Islam serta membina generasi ilmuan di serata dunia.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru semua pihak agar benar-benar menghayati nilai-nilai Islam serta menterjemah kepada tindakan yang terbaik demi negara dan umat seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam Syarahan Umum tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan meneruskan usaha mengambil tindakan atas saranan Perdana Menteri dalam Syarahan Umum tersebut.
Menurut beliau, saranan tersebut iaitu golongan muda Islam diperlengkapkan dengan ilmu-ilmu keagamaan termasuk ilmu al-Quran selain turut diberikan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) supaya berlaku integrasi ilmu. – KOSMO! ONLINE