SKUAD hoki bawah 17 (B17) lelaki negara, Malaysia Tigers (A) mencipta kemenangan epik apabila bangkit pada saat-saat akhir untuk merangkul Piala Mirnawan 2024 dalam aksi final penuh dramatik menentang Korea di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
Pada perlawanan itu, skuad negara ketinggalan seawal minit ketujuh menerusi pukulan sudut penalti Korea Selatan, Choe Do-hyeon sebelum bangkit dengan semangat luar biasa untuk mencatat kemenangan 3-2.
Ketua jurulatih Malaysia Tigers, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin berkata, para pemain bermain dengan kelajuan dan strategi yang teliti, terutama untuk menyaingi kepantasan lawan.
“Kami mengingatkan pemain agar fokus mengekalkan kelajuan dan ketepatan hantaran sepanjang perlawanan. Alhamdulillah, strategi itu membuahkan hasil.
“Pada suku terakhir, kami berjaya kekalkan kedudukan 3-2 dengan mengawal permainan secara taktikal. Ini adalah hasil kerja keras pemain dalam menguasai irama perlawanan dan menahan tekanan lawan,” ujarnya.
Kebangkitan sebenar bermula pada suku masa ketiga apabila pemain muda, Aferull Syah memecah kebuntuan dengan jaringan padang pada minit ke-38 untuk memberikan sinar harapan kepada pasukan.
Kegigihan mereka terus dibuktikan apabila Aferull sekali lagi mencetak gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-48, sekali gus mendahului buat kali pertama dalam perlawanan itu.
Pada minit ke-56, kapten, Muhammad Safwan muncul wira selepas meledak gol padang yang mengesahkan kemenangan 3-2 memastikan Malaysia Tigers muncul juara Piala Mirnawan buat kali pertama dalam sejarah kejohanan.
Lebih manis apabila satu lagi wakil negara, Malaysia Speedy (B) turut menaiki podium setelah menewaskan Austria 6-2 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat kelmarin.












