fbpx
MARTIN (depan) bakal digantikan oleh Marquez dalam pasukan Ducati musim depan. - AFP

MotoGP: Martin mungkin jadi mangsa ‘politik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

QUEENSLAND – Bekas juara dunia Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Casey Stoner memberi amaran keras kepada Ducati mengenai risiko politik dalaman yang boleh mencemari kejuaraan semasa yang kini diterajui oleh Jorge Martin.

Stoner yang pernah menghadapi isu sama sewaktu kariernya bersama Ducati, menjangkakan konflik tersebut boleh menjadi ‘duri dalam daging’ buat Martin dan Ducati pada penghujung musim ini.

Martin yang kini memimpin carta keseluruhan dengan kelebihan 24 mata di hadapan pelumba utama Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia, bakal berhijrah menyertai Aprilia musim depan.

Keputusan itu hadir selepas Ducati memilih untuk menyambar juara dunia enam kali, Marc Marquez sekali gus mengetepikan Martin yang selama ini bersama Pramac Racing dan bersaing hebat merebut gelaran musim ini.

Sekiranya Martin berjaya membawa pulang kejuaraan tahun ini, Aprilia berpeluang besar menonjolkan plat No. 1 pada jentera RS-GP mereka musim depan iaitu sesuatu yang Ducati ingin elakkan.

Meskipun Ducati menegaskan mereka bersikap adil, namun Stoner merasakan suasana ketegangan politik itu boleh menghalang Martin daripada merangkul gelaran.

“Jorge (Martin) berada di posisi terbaik untuk memenangi kejuaraan dan dia layak untuk itu. Namun, Ducati juga akan melakukan apa sahaja untuk memastikan (status) No. 1 kekal bersama mereka dan Pecco. Saya harap semuanya berjalan lancar,” kata Stoner.

Dalam masa sama, Stoner mengakui tidak hairan jika Ducati sebenarnya sudah lama mempunyai rancangan tersendiri dan berharap Martin lebih bijak dalam mengendalikannya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN