fbpx
SYED BEN BELLA (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan wang tunai dari Pusat Khidmat Parlimen Pengerang kepada Azhari di Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi kelmarin.

‘Tiada yang selamat kecuali tong gas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Persiapan yang dilakukan sepasang suami isteri di Felda Air Tawar 4 di sini untuk majlis perkahwinan anak pada Februari tahun depan musnah dalam sekelip mata apabila rumah yang mereka diami terbakar kelmarin.

Rusparizan Harun, 46, berkata, biarpun majlis perkahwinan anak sulungnya akan berlangsung beberapa bulan lagi, namun terdapat persiapan yang telah dibuat awal seperti pembelian langsir rumah dan barang kemas.

Katanya, semua barangan tidak sempat diselamatkan apabila api yang dipercayai berpunca dari kediaman abang iparnya merebak cepat ke rumah mereka yang dibina secara berkembar di belakang rumah mentuanya.

“Habis semua langsir dan barang kemas terbakar, memang tidak dapat diselamatkan. Bahkan dokumen untuk perkahwinan juga hangus.

“Ketika kejadian saya sempat masuk ke dalam rumah untuk cuba selamatkan dokumen-dokumen penting, namun gagal kerana rumah telah dipenuhi asap hitam tebal.

“Saya hanya sempat mengeluarkan tong gas kerana bimbang jika berlaku letupan,” katanya ketika menerima ziarah dari Pegawai Khas Ahli Parlimen Pengerang, Syed Ben Bella Al Habshee bersama Pemuda dan Puteri UMNO Pengerang di rumahnya semalam.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, ketika kejadian dia berada di luar rumah bersama anak dan suaminya, Azhari Abu Bakar, 53, untuk membersihkan kawasan sekitar rumah sebelum terlihat asap hitam keluar dari siling kediaman mereka.

Menurutnya, mereka kemudian terdengar bunyi letupan sebanyak dua kali dan diikuti asap tebal serta api.

“Kami rugi kira-kira RM100,000. Memang sedih kerana rumah yang kami diami ini dari sebuah rumah yang kecil hinggalah menjadi sebuah rumah yang selesa untuk kami anak-beranak.

“Apabila ada duit baru buat sikit demi sedikit termasuk guna duit simpanan, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan pinjam duit orang. Kami sekarang buntu bagaimana untuk mengadakan majlis perkahwinan anak nanti.

“Mujur juga duit hantaran pihak lelaki belum beri lagi walaupun mereka mahu beri awal tapi saya menolak. Apa yang terselamat hanya al-Quran yang diletak dalam bilik, yang lain semuanya habis,” ujarnya.

Tambahnya, buat sementara ini dia dan keluarga menetap sementara waktu di rumah pusaka mentuanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN