APABILA berbicara tentang kucing hitam, pasti ramai yang masih ingat dengan watak Salem dalam siri popular, Sabrina The Teenage Witch pada penghujung 1990-an dahulu.
Salem bukan sekadar haiwan peliharaan, malah ia merupakan bekas ahli sihir yang dihukum menjadi kucing hitam kerana cuba menakluk dunia.
Bulu hitam berkilat, mata hijau bercahaya dengan sifat sarkastik, menjadikan Salem sebagai sahabat terbaik untuk membantu Sabrina menjadi ahli sihir muda.
Watak Salem diinspirasikan daripada persepsi negatif majoriti masyarakat dunia terhadap kucing hitam yang mengaitkannya dengan perkara-perkara mistik.
Dalam masyarakat Melayu, sesetengah generasi tua masih lagi berpegang pada anggapan bahawa orang mati akan hidup semula jika kucing hitam melangkah mayat tersebut.
Bahkan, terdapat juga golongan yang percaya bahawa kemunculan kucing hitam di hadapan mereka mampu membawa bala dan petanda buruk.
Kepercayaan itu ditepis oleh salah seorang pemilik kucing hitam baka munchkin, Fatimah Husna Razalee.

Ujarnya, kucing yang diberi nama Boba itu merupakan satu-satunya berwarna hitam sepenuhnya dalam keluarga kucing berwarna campuran miliknya.
“Ibu, ayah dan adik-beradik Boba semuanya berwarna campuran. Tidak tahu macam mana sesat seekor berwarna hitam.
“Biarpun kepercayaan lama menganggap kucing hitam itu pembawa malang atau petanda buruk, namun kami menganggap kelahiran Boba sebagai satu keajaiban Tuhan,” katanya kepada K2.
Fatimah ditemui ketika menghadiri Perjumpaan Kucing Hitam Pertama Malaysia yang diadakan sempena My Cat Expo edisi Halloween di IOI Grand Exhibition and Convention Centre (IOIGE), IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.
Hampir 100 ekor kucing berwarna hitam pelbagai baka hadir bersama pemilik dengan memakai kostum bertemakan Halloween.
Antara aktiviti yang diadakan adalah mencari harta karun dengan mencedok, kotak misteri serta pertandingan kostum duo kucing dan pemilik terbaik.
Pada perjumpaan tersebut, Boba bersama anak Fatimah iaitu Nur Aisyah Azzalea memakai kostum seragam berbentuk air teh boba.
Tambah ibu kepada dua cahaya itu, tiada perbezaan sama sekali dari segi penjagaan, biarpun warna Boba berbeza daripada ibunya sendiri.
“Keperluan makanan dan penjagaan Boba sama sahaja seperti kucing-kucing munchkin lain.
“Semua baka memiliki variasi berwarna hitam. Oleh itu, kucing berwarna hitam bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti,” jelasnya.
Menurut catatan sejarah, sifat benci terhadap kucing hitam bermula pada abad ke-13 Masihi iaitu sekitar tahun 1227 dan 1241.
Ketua Paderi Gereja Katolik, Pope Gregory IX menyebarkan kepercayaan bahawa kucing hitam merupakan jelmaan syaitan dan pembawa nasib malang.
Pada tahun 1233, mereka yang taat kepada gereja memulakan aktiviti memburu dan membunuh kucing hitam.
Situasi semakin memuncak pada abad ke-16 dan ke-17 apabila mereka yang memiliki atau menjaga kucing hitam dilihat sebagai pengamal ilmu sihir.
Malangnya, ketakutan itu membawa kepada penganiayaan terhadap kucing dan penjaganya terutama golongan wanita.
Namun situasi berbeza di Jepun, kucing hitam dilihat sebagai simbol nasib baik, perlindungan dan kemakmuran.

Perspektif itu sangat popular dalam kalangan wanita bujang kerana memiliki kucing hitam dikatakan mampu menarik jodoh.
Dalam ajaran Islam pula, kucing hitam tidak dianggap sebagai pembawa malang atau tuah.
Ini kerana, percaya perkara khurafat adalah perbuatan syirik dan dosa besar yang boleh merosakkan akidah.
Dalam pada itu, kucing hitam dikatakan memiliki personaliti tenang dan misteri, sekali gus bertentangan dengan sifat kucing oren yang nakal.
Tidak menafikan perkara tersebut, Fazira Umirra Mohamad Fodzi mengakui, kucingnya bernama Blacky memiliki personaliti tenang dan misteri.
Ujarnya, perkara itu dapat dilihat apabila busana samurai yang dipakai kucing itu masih kekal terletak di badannya.
“Blacky ini manja dan mudah mesra dengan orang. Kalau dia gigit orang pun, sekadar gigit-gigit manja.
“Tak susah pun nak pakaikan dia pakaian kerana sudah biasa. Dia tenang sahaja dan tidak meronta-ronta,” ujarnya.
Bagi pertandingan bertaraf Pertunjukan Kucing Antarabangsa CFA, kucing hitam dinilai berdasarkan warna bulu hitam pekat tanpa sebarang cela.
Sekiranya bulu kucing kusam, tidak terawat atau memiliki tanda-tanda masalah kulit, ia akan diklasifikasikan tidak memenuhi piawaian diperlukan.
Kucing hitam yang sering terdedah kepada sinaran matahari akan menyebabkan bulunya beransur-ansur pudar kepada warna perang berkarat.
Sementara itu, pemilik kucing hitam bernama Adeq Aneesa Muezza, Siti Rafidah Selamat berkata, penjagaan rapi diperlukan bagi memastikan bulunya hitam berkilat.
“Dahulu, sewaktu Adeq Aneesa aktif memasuki pertandingan, saya akan sapu minyak khas pada bulunya bagi nampak berkilat.
“Saya juga bagi dia makan minyak kelapa dan minyak salmon yang boleh menjadikan bulu berkilat dan menjaga kesihatan kulitnya,” ujarnya.
Jelas Siti Rafidah, kucing berusia 5 tahun itu tidak lagi bertanding kerana bulunya sudah menunjukkan tanda-tanda beruban.
“Sekarang Adeq Aneesa tidak lagi melepasi piawaian bertanding. Tapi, saya masih lagi mandikannya sebulan sekali bagi memastikan ia bersih.
“Ini kucing dalam rumah, jadi tak perlu terlalu ketat penjagaannya. Berbeza dengan kucing yang bebas keluar rumah,” katanya.














