PADA Selasa dan Rabu lalu, selama dua hari berturut-turut akhbar Kosmo! menyiarkan pengakuan dua lelaki yang merupakan bekas anggota kumpulan militan berpengaruh.
Seorang daripada mereka yang digelar Abu berusia 58 tahun merupakan bekas ahli Jemaah Islamiah (JI), manakala seorang lagi adalah anak muda yang pernah menganggotai kumpulan Islamic State (IS) atau Daesh.
Banyak cerita yang dikongsikan kepada penulis memandangkan kedua-dua mereka bukan calang-calang individu dalam kumpulan masing-masing.
Abu bukan sahaja mahir mengendalikan senjata api sewaktu menyertai peperangan di Afghanistan, malah pernah mengajar ilmu itu kepada anggota militan lain, manakala Akmal pula mempunyai networking yang kuat dengan barisan hadapan IS.
Akmal tanpa berselindung memberitahu pada awal pembabitannya, dia sanggup melakukan apa sahaja termasuk menonton video selama lapan jam sebelum kemunculan media sosial seperti Facebook dan Twitter (kini X).
Pemuda itu mendedahkan dia menghabiskan masa selama dua tahun sampai tidak tidur malam untuk mencari malumat di internet.
Usahanya berhasil apabila dia dapat berhubung dengan front person IS sebelum dipilih menyertai team propaganda, namun pihak Polis Diraja Malaysia lebih cekap apabila dapat memberkas pemuda tersebut.
Yang menarik perhatian penulis adalah bagaimana anak muda ini yang ketika itu berusia awal 20-an mendapatkan segala maklumat mengenai peperangan dan jihad hanya di internet.
Seorang pegawai polis pernah mendedahkan sepasang suami isteri terkejut besar apabila mengetahui anak mereka yang berusia awal 20-an rupa-rupanya pedofilia.
Perkara itu terbongkar selepas pihak berkuasa menyerbu rumah mereka lebih tepat bilik si anak dan merampas dipercayai ribuan gambar kanak-kanak.
Pasangan itu seolah-olah tidak percaya dengan aktiviti anak mereka kerana suspek disifatkan anak yang baik dan banyak menghabiskan masa di rumah.
Seorang kenalan rapat pernah meluahkan jika dahulu ibu bapa bimbang sekiranya anak-anak mereka berada di luar rumah. Mereka takut anak-anak terjebak dengan rakan-rakan nakal yang menghisap rokok, dadah dan merempit.
Namun, sambung kenalan tadi, dunia sekarang sudah berubah, anak-anak yang berada di rumah depan mata pun belum tentu lagi selamat.
Dalam dunia sekarang, segala maklumat di hujung jari. Setiap anak mempunyai telefon bimbit jadi lebih mudah untuk mereka mengakses segala maklumat.
Berjalan, di meja makan, berbual dengan keluarga dan rakan-rakan pun tangan tidak lekang dengan gajet.
Jadi sebagai ibu bapa di luar sana, pantaulah anak masing-masing. Orang tua-tua dulu pernah berpesan, biar anak-anak menangis sekarang daripada ibu bapa menangis di kemudian hari. -KOSMO! ONLINE
















