BAGI netizen di ruang maya terutama yang gemar memasak pasti pernah terlihat video masakan Cina yang disediakan wanita mualaf ini.
Menggunakan akaun TikTok @soyabelacan, wanita bernama Aisha Tan ini mula menempa nama serta menuai populariti dengan gaya dan cara masakannya yang tersendiri.
Tidak sama seperti pempengaruh masakan lain, idea kreatifnya menyajikan masakan masyarakat Cina menggunakan bahan-bahan halal sering menjadi ikutan sekali gus meyakinkan penganut Islam untuk mencuba menu tersebut.
Aktif berkongsi video masakan sejak Ogos 2022, ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia empat tahun ini tidak pernah menyangka perkongsiannya di platform media sosial mendapat perhatian.
“Jujur saya katakan, memasak bukan hobi saya tetapi suami yang merupakan orang Melayu sangat suka makan.
“Justeru, saya teruja untuk berkongsi resipi masakan Cina dengannya sejak saya memeluk Islam, kemudian bernikah dengannya pada 2018,” katanya kepada Aura.
Tambah Aisha atau nama sebenarnya Tan Yan Yin, 34, tercetusnya idea untuk berbuat demikian (memasak makanan menggunakan bahan halal) adalah kerana kebanyakan masakan Cina di pasaran tidak halal.
Jadi, dek tiada pilihan dan teringin menikmati masakan Cina versi halal, maka terpaksalah dia memasak sendiri dengan cara tersendiri.
“Resipi itu saya kongsikan di TikTok dan video pertama yang dimuat naik adalah pada 5 Ogos 2022. Dalam tempoh dua bulan saja, sudah ada lebih 150,000 pengikut dan sekarang hampir mencecah 600,000. Syukur alhamdulillah, saya memang tidak pernah fikir boleh jadi begini,” katanya.
Menurut wanita kelahiran Ipoh, Perak dan kini menetap di Tanjung Tokong, Pulau Pinang ini, menerusi perkongsian video memasaknya, dia juga tidak keberatan berkongsi kisah penghijrahannya bersama pengikut.
Paling membuatkannya bersemangat untuk memuat naik video masakan adalah kerana suaminya, Azrul Mukhri Azizul Affendi, 33, yang sentiasa menyokong usahanya dan kerap membantu di dapur.
“Ada segelintir orang yang menonton video saya mengatakan penyediaan masakan Cina mudah kerana bahan digunakan cuma sedikit.
“Tetapi bagi saya sendiri, masakan Cina sukar disediakan kerana memerlukan teknik, kesabaran dan kemahiran yang betul.
“Contohnya seperti masak nasi itik panggang, ia tidak mudah tetapi saya seronok dapat mencuba dengan cara sendiri dan berkongsi bersama ramai,” katanya.
Aisha yang pernah bekerja sebagai online marketer mengakui mulanya memang tidak minat apatah mahir memasak, namun gembira dapat mempelajari serta berkongsi dengan pengikut.
Katanya, dari semasa ke semasa, dia tetap mempelajari ilmu dan cara masakan yang betul dengan ibu, ibu mentua serta ahli keluarga selain menerusi dalam talian.

juga sering dijemput melakukan demonstrasi masakan Cina Muslim dalam program-program.
Jelasnya, perkongsian video di TikTok juga memberi peluang kepadanya untuk memperbaiki kekurangan apabila pengikut dan komuniti Cina dalam talian saling berkongsi ilmu.
“Paling buat saya gembira apabila ramai pengikut sudah mencuba resipi saya dan keluarga mereka menyukainya.
“Saya sangat terharu dan pada masa sama hargai serta berterima kasih dengan sokongan positif diberikan,” katanya yang juga berhasrat membuka restoran makanan Cina Muslim suatu hari nanti.
Berkongsi cabaran sebagai saudara baharu dan sebagai pejuang masakan Cina halal, Aisha memberitahu, pastinya ada dan tidak boleh lari daripadanya.
Jelasnya, komen-komen yang tidak baik biasanya daripada masyarakat Cina yang tidak boleh terima dia memeluk Islam.
“Mereka akan bagi komen seperti Aisha pengkhianat bangsa, kenapa nak ajar bangsa lain buat masakan Cina.
“Kecaman terbaharu juga begitu mengejutkan saya kerana datang daripada saudara Islam sendiri, ada yang persoalkan kehalalan sesuatu makanan Cina.
“Jujur ada rasa kecewa dan sedikit hampa sangat bila ada kenyataan yang berbaur racist (perkauman). Ada juga yang persoalkan keislaman bangsa Cina yang tak sama dengan bangsa Melayu.
“Tetapi suami mengingatkan supaya jangan makan hati sangat sebab pandangan manusia tak penting, yang pentingnya pandangan Allah. Saya sifatkan apa yang saya lakukan (memasak) ini sebagai satu dakwah kecil,” katanya.
Diaju kisah penghijrahan, Aisha berkata, suaminya insan yang banyak membimbing sehingga hatinya terbuka untuk memeluk Islam sebelum mengahwini lelaki itu.
“Dahulu saya agak tertekan dengan hidup kerana banyak persoalan mengenai kehidupan yang tiada jawapan, namun suami boleh menjawabnya, ia membuatkan saya kagum.
“Dia yang banyak dakwah saya hingga saya benar-benar faham apa itu Islam.
“Alhamdulillah daripada situ saya terbuka hati untuk berhijrah dan jadi saudara baharu,” katanya.
Mengenai perancangan ke hadapan, Aisha mengimpikan untuk ada perniagaan dan produk sendiri.
Selain itu, dia juga mahu seluruh masyarakat tidak mengira agama menikmati makanan Cina yang halal dengan mudah tanpa ragu-ragu.














