PERKATAAN keris dikatakan berasal dari bahasa Jawa Kuno bermaksud malang kerik yang bermakna bercekak pinggang. Ini merujuk kepada figura orang bercekak pinggang pada hulu keris pada peringkat awal.
Keris bukanlah budaya yang asing dalam masyarakat Melayu Nusantara kerana ia mempunyai simbolik kepada konsep ketuanan dan kedaulatan bangsa Melayu sejak dahulu lagi.
Keris yang telah berusia 600 tahun ini dikenali sebagai salah satu daripada alat persenjataan orang Melayu selain tombak, pedang, badik, kelewang, kerambit dan sebagainya.
Keris digunakan untuk mempertahankan diri dan sebagai alat kebesaran diraja.
Keris merupakan senjata yang telah diangkat martabatnya ke kedudukan paling tinggi dalam ketamadunan Melayu melebihi senjata lain kerana fungsi, ketinggian falsafah dan nilai seni estetiknya.
Fungsi keris telah banyak mengalami perubahan, dari penciptaan asal sebagai senjata, kemudian berubah menjadi barang keramat, pusaka yang dipuja, lambang ikatan keluarga, tanda jasa, tanda pangkat atau darjat, sehinggalah menjadi sebagai barang seni dan cenderamata.
Semua ini tersimpul pelbagai falsafah dan nilai peradaban dan ketamadunan bangsa Melayu yang tinggi.
Keunikan keris diperjelaskan dalam bentuk fizikal dan non-fizikal oleh pandai besi atau empunya yang menciptanya.

















