PEMBENTANGAN Belanjawan 2025 oleh kerajaan baru-baru ini merupakan sesuatu yang dinantikan oleh semua pihak.
Orang ramai menantikan pembentangan tersebut bagi mengetahui mengenai manfaat yang mereka akan peroleh.
Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM421 bilion pada belanjawan kali ini dan jumlah itu merupakan yang terbesar pernah diumumkan. Ia bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat.
Bagi membincangkan perihal tentang Belanjawan 2025, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Bany Ariffin Amin Noordin baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Apakah pandangan Dr. mengenai Belanjawan 2025, apabila kerajaan memperuntukkan sejumlah RM421 bilion iaitu yang terbesar dalam sejarah negara?
DR. BANY ARIFFIN: Jumlah yang diperuntukan untuk Belanjawan 2025 adalah tepat untuk memacu ekonomi Malaysia ke hadapan dalam usaha menjadi negara maju.
Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM86 bilion untuk perbelanjaan pembangunan yang akan digunakan untuk pembiayaan infrastruktur dan lain-lain yang boleh meningkatkan produktiviti ekonomi.
Semua ini penting, jika hendak maju ke hadapan kita perlu ada perbelanjaan pembangunan ini.
Selain itu, apabila kita berbicara tentang negara maju, kesejahteraan rakyat penting dan kerajaan tidak melupakan aspek tersebut, di mana banyak inisiatif diberikan kepada rakyat.
Antara inisiatif yang memfokuskan kesejahteraan rakyat pada belanjawan kali ini adalah kenaikan kadar gaji minimum, pelepasan cukai rumah pertama, penyediaan rumah mampu milik dan banyak lagi.
Belanjawan kali ini juga tidak dibelanjakan untuk projek-projek mega.
Secara keseluruhannya, saya berpuas hati kerana semuanya bersasarkan kepada kesejahteraan rakyat.
Adakah semua lapisan masyarakat merasai impak daripada belanjawan yang dibentangkan ini?
Melalui inisiatif-inisiatif yang diumumkan pada belanjawan kali ini, segenap lapisan masyarakat bakal menerima impaknya.
Golongan B40, M40 akan mendapat impak secara langsung. Manakala bagi golongan T15 pula, mereka akan menerima impak secara tidak langsung daripada belanjawan ini.
Apabila kerajaan berbelanja untuk infrastruktur seperti pembaikan jalan, meningkatkan jaringan internet dan sebagainya, ia akan memberi kemudahan kepada semua termasuk golongan T15 secara tidak langsung.
Ini yang kita tidak nampak, sebenarnya T15 juga mendapat impak daripada Belanjawan 2025 sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Dalam belanjawan ini, ada dinyatakan tentang penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun hadapan. adakah penyasaran subsidi ini akan memberi kesan kepada kenaikan harga barangan akibat kesan domino?
Secara teorinya, apabila harga minyak naik, harga barangan turut akan naik.
Namun kali ini, pendekatannya berbeza kerana pengurangan subsidi untuk T15 sahaja.
Golongan T15 ini jumlahnya tidak ramai, jadi apabila harga minyak naik, ia tidak memberi kesan langsung kepada golongan lain yang masih layak menikmati subsidi.
Peningkatan kos hanya untuk T15 dan bukannya golongan lain. Namun saya rasa, akan ada sedikit tekanan terhadap inflasi dan ia terkawal.
Dari sisi lain, akan ada peniaga yang mengambil kesempatan dalam hal ini meskipun mereka tidak terkesan terhadap penyasaran subsidi ini.
Di sini, kerajaan perlu memainkan peranan dan agensi-agensi tertentu yang sepatutnya memantau harga turun padang dengan lebih kerap dan komprehensif supaya peniaga tidak mengambil kesempatan.
Sebenarnya, tidak wajar peniaga-peniaga yang tidak terkesan menaikkan harga barangan.
Hakikatnya, langkah penyasaran subsidi ini akan memberi penjimatan kepada kerajaan dan bajet defisit akan dapat dikurangkan.
Pada pandangan Dr., bagaimanakah penyasaran subsidi petrol RON95 akan dilaksanakan dan mekanisme yang akan digunakan bagi memastikan ia sampai kepada kumpulan sasaran?
Dalam kalangan ahli akademi, kami masih tertanya-tanya bagaimana ia akan dilaksanakan.
Mungkin bagi permulaan, sistem Pangkalan Data Utama (Padu) akan digunakan.
Sebenarnya, saya sendiri tiada jawapan tentang mekanisme apa yang akan digunakan oleh kerajaan.
Mungkin juga dari sistem Padu ini, kerajaan dapat mengesan golongan yang dianggap T15, M40 dan B40, sekali gus penyasaran subsidi dapat dilakukan. Ada kemungkinan juga, ketika membeli petrol nanti, kad pengenalan diperlukan bagi mengesan harga yang sepatutnya kita dapat.
Jadi, warga asing tidak akan mendapat subsidi ini, sekali gus ketirisan dapat dikurangkan.
Saya rasa, Padu menjadi detik permulaan untuk kita mengklasifikasikan masyarakat mengikut kelas-kelas tertentu berdasarkan pendapatan isi rumah.
Kerajaan juga telah mengumumkan kenaikan gaji minimum dari RM1,500 kepada RM1,700 pada Februari tahun depan. Apakah impaknya kepada pekerja dan ekonomi secara keseluruhan?
Kenaikan gaji minimum ini sudah semestinya akan meningkatkan kesejahteraan para pekerja dengan mendapat pendapatan yang lebih dan kuasa membeli mereka juga akan meningkat.
Begitu juga untuk penjawat awam yang sebelum ini telah diumumkan akan menerima kenaikan gaji.
Apabila mereka mempunyai kuasa membeli yang lebih besar, ia dapat memberi ‘spillover effect’ yang dapat merangsang ekonomi dengan lebih aktif. Ini juga akan mewujudkan perniagaan baharu, sekali gus bertambah juga peluang pekerjaan.
Persoalannya ketika ini, adakah pihak majikan sedia membayar kadar gaji minimum itu terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)?
Saya melihat juga kenaikan gaji minimum ini merupakan satu pelan jangka panjang kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan ke atas ‘cheap labour’ atau buruh murah.
Kebanyakan buruh murah ini adalah warga asing dan mereka masuk ke Malaysia secara tidak sah. Apabila kerajaan menaikkan kadar gaji, maka buruh murah juga harus dinaikkan gaji mereka.
Syarikat pasti akan rasa terbeban untuk membayar gaji yang lebih ini, jadi mereka mungkin akan mencari alternatif daripada mengupah buruh murah ini.
Bagaimanapun, kerajaan juga memberikan pelepasan cukai dan pemberian geran kepada mana-mana syarikat yang memperkenalkan penggunaan automasi dalam operasi mereka. Namun begitu, kenaikan harga barang dan perkhidmatan pasti akan berlaku kesan daripada peningkatan kadar gaji minimum ini.
Harapan saya untuk jangka masa panjang, apabila syarikat telah berjaya automasi operasi, produktiviti dan kecekapan akan meningkat. Selain itu, kenaikan kadar gaji minimum juga akan mengalakkan rakyat tempatan bekerja dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang sebelum ini lebih didominasi oleh warga asing.
Dengan belanjawan yang begitu besar, ketirisan mungkin akan berlaku. Jadi, apakah usaha yang boleh ambil bagi mengelak ketirisan berlaku?
Pada pandangan saya, apa yang dimaksudkan dengan ketirisan adalah situasi di mana orang yang sepatutnya tidak dapat tetapi dapat.
Sebagai contoh, manfaat subsidi RON95 diperoleh oleh semua termasuk pekerja asing. Kalau kita dapat adakan satu mekanisme di mana mereka yang betul-betul layak sahaja dapat, maka ketirasan dapat dikurangkan.
Saya juga tertarik dengan usaha mewajibkan pekerja asing mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Ia merupakan salah satu cara untuk menggalakkan ketirisan wang kita mengalir keluar.
Kerajaan dijangka akan menarik semua subsidi yang diberikan kepada golongan T15 seperti subsidi petrol, kesihatan dan pendidikan. Apakah pendapat Dr. mengenai langkah ini?
Sepatutnya perkara ini telah lama dilakukan, golongan T15 sebenarnya boleh berdiri di atas kaki sendiri.
Jumlah subsidi yang ditarik daripada mereka itu boleh diberikan kepada golongan lebih memerlukan seperti B40 dan M40 atau disalurkan untuk projek-projek yang dapat meningkatkan lagi ekonomi negara.
Meskipun ada suara-suara yang mengatakan ‘tidak adil’ kerana T15 turut menyumbangkan kepada hasil kerajaan dalam bentuk cukai, namun cukai yang dibayar itu digunakan oleh kerajaan untuk menaik taraf jalan raya dan beberapa kemudahan lain yang turut memberi manfaat kepada golongan ini.
Golongan T15 mungkin boleh melakukan sedikit pengorbanan dalam membantu kumpulan yang lebih memerlukan.
Misalnya untuk kesihatan, T15 masih berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta.
Begitu juga untuk biasiswa pendidikan, jika rasa mampu, beri peluang kepada anak-anak daripada keluarga yang kurang kemampuan.
Ini akan membuka peluang kepada mereka untuk mengubah masa hadapan.
Namun, jika T15 ini turut mendapat biasiswa, ia akan menutup peluang pelajar lain yang lebih memerlukan.
Dalam belanjawan kali ini, kerajaan ada memperkenalkan beberapa cukai baharu seperti cukai dividen, cukai makanan tinggi gula, menambah baik cukai jualan dan lain-lain lagi. Adakah langkah ini akan membebankan rakyat kebanyakan?
Impak daripada pelaksanaan cukai-cukai ini adalah sangat maginal.
Sebagai contoh, kenaikan cukai gula. Apabila cukai gula dinaikkan, kerajaan dapat menggunakan hasil tersebut untuk benda-benda lain.
Selain itu, apabila harga gula naik, rakyat akan mengurangkan pengambilan gula, sekali gus masalah kesihatan seperti diabetes dapat dikurangkan.
Sementara untuk cukai dividen pula, ia dikenakan untuk keuntungan RM100,000 dan ke atas.
Untuk mendapat keuntungan tersebut, kita perlu ada RM2 juta dalam akaun, siapa yang dapat keuntungan ini, sudah tentunya golongan ‘maha kaya’.
Cukai ini wajar dikenakan bagi membolehkan kerajaan mendapat pendapatan membiayai projek-projek pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Cukai-cukai ini juga sebenarnya dapat membantu mengurangkan defisit belanjawan negara.
Setiap perbelanjaan yang akan dilaksanakan mesti ada sumber pendapatan.
Jadi, cukai-cukai ini merupakan salah satu cara untuk mendatangkan sumber kewangan kepada pihak kerajaan.














