GEORGE TOWN – Kos operasi bagi kadar penginapan hotel mungkin dinaikkan sekurang-kurangnya 30 peratus sekiranya pelarasan waktu penginapan ditetapkan minimum 23 jam.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Datuk Tony Goh berkata, pihaknya tidak menolak berlaku kenaikan kadar penginapan kerana pihak hotel perlu melakukan beberapa penambahbaikan bagi melancarkan operasi pengurusannya kerana tempoh penginapannya dianggap terlalu panjang.
“Pelarasan waktu penginapan minimum 23 jam akan menambahkan lagi kerja dan kos pengurusan hotel termasuk penggunaan bil utiliti yang lebih banyak.
“Mungkin kadar penginapan hotel juga akan dinaikkan daripada 30 hingga 50 peratus berikutan pihak hotel terpaksa menggaji jumlah pekerja yang lebih ramai iaitu dua kali ganda berbanding operasi sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Katanya, pihak hotel juga akan berdepan cabaran yang lebih besar dalam mendepani tempoh penginapan yang lebih lama termasuk karenah birokrasi pengguna atau pengunjung hotel.
“Itu belum lagi berdepan kerenah pelanggan yang meninggalkan bilik hotel dalam keadaan yang teruk. Kita pula kena bersihkan bilik itu sekurang-kurangnya lebih sejam berbanding masa yang sepatutnya hanya minimum 30 minit hingga satu jam.
“Pelanggan dan semua orang kena faham, bukan pihak hotel sengaja hendak buat sebegitu (daftar masuk pukul 3 petang dan keluar pukul 12 tengah hari). Ini merupakan polisi yang ditetapkan untuk keselesaan pengguna apabila menginap,” ujarnya.
Justeru ujarnya, MAH kekal pendirian tidak bersetuju dengan gesaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), manakala tempoh penginapan minimum 23 jam juga disifatkan sebagai tidak praktikal.
Kosmo! melaporkan, pengusaha hotel menyifatkan pelarasan waktu penginapan minimum 23 jam adalah sukar serta tidak masuk akal.
Di Kuala Terengganu, Pengerusi MAH Terengganu, Suaibah Harun senada berkaitan peraturan tersebut kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kenaikan caj bilik hotel.
“Dasar baharu terbabit hanya boleh dilaksanakan dengan tenaga kerja yang ramai. Isu kekurangan tenaga pekerja merupakan kekangan sebahagian operator hotel pada masa ini.
“Ia menyukarkan untuk melaksanakan perkara itu disebabkan masa yang lebih panjang perlu diambil bagi membersih dan melakukan sanitasi bilik penginapan.
Ujarnya, pengambilan tenaga kerja baharu akan meningkatkan kos operasi apatah lagi dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 akan dilaksanakan pada Februari depan.
Pengurus Besar Hotel Primula itu berkata, tidak mustahil kenaikan kos operasi kelak terpaksa ditampung dengan menaikkan caj penginapan bilik hotel.
Di Mersing, Pengusaha Teluk Sari Beach Resort, Norhasimah Roslan berkata, pengusaha resort di sini tidak menyokong gesaan MOTAC tersebut kerana perkara itu akan menjadi beban kepada pemilik penginapan dan pekerja.
Katanya, kebarangkalian pengusaha perlu menambah pekerja juga amat tinggi sekali gus akan meningkatkan kos operasi.
“Untuk mengemas bilik orang keluar masuk itu perlu masa yang lama kerana ada antara pelanggan yang mendaftar masuk bilik belum tentu mereka keluar dalam keadaan bilik bersih dan tidak kotor.
“Sudah banyak kos yang pengusaha perlu keluarkan termasuklah untuk membayar lesen majlis daerah dan cukai-cukai lain. Kalau diberi masa singkat satu jam sahaja kami terpaksa tambah pekerja melibatkan kos.
“Tambahan pula hotel atau chalet kebanyakannya mengharapkan hari cuti sahaja untuk ada pelanggan tidak seperti kedai makan selalu ada orang,” katanya. -KOSMO! ONLINE














