fbpx
SALAH seorang peserta pertandingan membuat lontaran dengan gaya tersendiri.

Malaysia bangunkan akar umbi sukan kapal terbang kertas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RIAK wajah kanak-kanak itu tampak fokus saat tangannya melipat kertas bersaiz A4.

Lipatan demi lipatan dilakukan dengan teliti kerana setiap sudut dan bentuk mempengaruhi jarak penerbangan kertasnya nanti.

Setelah puas dengan bentuk kapal terbangnya, Izzul Iman Azhar berdiri di hadapan landasan penerbangan.

Kapal terbang kertas di tangan kanak-kanak berusia sembilan tahun itu dilontar ke hadapan dengan gaya seakan-akan melontar lembing.

Siapa sangka, salah satu daripada dua lontaran pelajar darjah tiga di Sekolah Kebangsaan Kuang, Gombak, Selangor itu mencecah 17.9 meter (m).

Ini menjadikan anak keempat daripada lima beradik itu juara bagi acara jarak jauh kategori bawah 15 tahun. Mengulas mengenai kemenangannya, Izzul Iman berkata, dia tidak sangka dirinya mampu mencapai keputusan tersebut tanpa sebarang persediaan awal.

“Saya tidak melakukan apa-apa latihan kerana tidak tahu ada pertandingan ini. Sewaktu saya sedang melawat ‘booth’ bersama dengan emak, saya diberitahu ada pertandingan ini dan terus sertai.

“Namun, saya gembira dapat menghasilkan kapal terbang yang sememangnya boleh pergi jauh,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Untuk makluman, Izzul Iman merupakan salah seorang peserta pertandingan kapal terbang kertas yang diadakan pada Kejohanan Sukan Udara 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

Kejohanan selama tiga hari itu dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF).

Selain kapal terbang kertas, beberapa sukan lain turut dipertandingkan, antaranya paragliding, paramotor, aeromodelling dan dron.

Sementara itu, Muhammad Addin Farihin Azhar berjaya merangkul gelaran juara bagi acara jarak jauh kategori terbuka 16 tahun dan ke atas.

Biarpun tidak pernah menyertai pertandingan sedemikian, namun pekerja swasta tersebut teruja sekiranya berpeluang terlibat secara serius.

Remaja berusia 19 tahun itu berjaya melakukan lontaran sejauh 33.6m setelah strategi aerodinamik membuahkan hasil.

“Saya tahu prinsip fizik di sebalik kapal terbang kertas. Untuk memastikan kapal terbang boleh pergi jauh, cara lipatan mestilah tajam dan nipis.

“Balingan pula perlu kuat bagi memastikan ia mampu mengatasi graviti dan tekanan udara untuk terbang jauh,” jelasnya.

Tujuan pertandingan kapal terbang kertas diadakan di Kejohanan Sukan Udara 2024 adalah untuk memperkenalkan sukan tersebut kepada orang awam.

PESERTA perlu menghasilkan kapal terbang daripada lipatan kertas.

Oleh kerana pertandingan itu bersifat santai, ia dilakukan di kawasan terbuka, sesuai dengan venue penganjuran kejohanan tersebut.

Sekiranya mengikut standard kejohanan dunia, pertandingan kapal terbang kertas harus dilakukan di dalam dewan tertutup bagi mengelak gangguan angin.

Kejohanan dunia dikenali sebagai ‘Red Bull Paper Wings World Championship’ itu mempertaruhkan acara terbuka dalam tiga kategori iaitu jarak jauh, penerbangan dan aerobatik.

Penganjuran acara itu di bawah seliaan Persatuan Pesawat Kertas yang memiliki venue tetap di Salzburg, Austria.

Mengikut standard, trek pertandingan pula memiliki lebar 4.57m dan panjang sejauh 70 meter dan memerlukan ketinggian bumbung sekurang-kurangnya lebih 4.57m.

Selain itu, peserta diberi pilihan sama ada mahu menggunakan kertas dengan berat berbeza iaitu 75 gram untuk satu meter persegi (gsm), 80gsm dan 90gsm.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Remaja Udara Malaysia (KRUM), Azhar Selamat berkata, pertandingan kapal terbang kertas memiliki keunikan kerana menggabungkan kepintaran sains dan sukan.

Ujarnya, Malaysia merupakan satu-satu negara yang menjadi perintis kepada pembangunan sukan tersebut di peringkat akar umbi.

“Di peringkat dunia, mereka menganjurkan acara terbuka dalam kalangan peminat hobi ini dari seluruh dunia. Tetapi di Malaysia, sukan ini dibangunkan di peringkat sekolah. Sukan ini juga dipertandingkan mengikut kategori usia dan jantina,” ujarnya.

Di bawah Kelab Remaja Udara Malaysia (KRUM), terdapat lebih daripada 400 buah sekolah termasuk kesemua 55 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

KRUM merupakan platform pemerkasaan kokurikulum pendidikan dan pembangunan generasi muda di Malaysia dalam bidang penerbangan, aero angkasa, angkasa lepas dan automasi dron sejak tahun 2014.

Kapal terbang kertas dimasukkan ke dalam silibus kerana ia mengajar murid tentang empat daya utama yang bertindak dalam sesebuah kapal terbang. Empat daya tersebut adalah daya dorong (thrust), daya hambat (drag), daya tujah (lift) dan berat pesawat (weight).

Pertandingan kapal terbang kertas melibatkan pelajar sekolah sudah dipertandingkan di peringkat negeri dan kebangsaan sejak 2017.

Tambah Azhar, KRUM mendapat kerjasama dan nasihat daripada pengasas bersama ‘Red Bull Paper Wings World Championship’, Andy Chippling dan juara dunia pertama, John Collins.

“Jawatankuasa KRUM melibatkan pensyarah bidang aeroangkasa, juruterbang dan jurutera. Oleh itu, usaha KRUM diiktiraf oleh kedua-dua nama besar industri ini.

“Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh juga memberikan sokongan terhadap usaha KRUM,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN