SEAWAL usia empat tahun, gadis itu sudah didedahkan dengan aktiviti kendiri oleh ibu bapanya sebagai pendedahan untuk membentuk keyakinan dan sahsiah diri.
Apabila umurnya 10 tahun pula, atas saranan ibu bapa, dia kemudian mengikuti seni mempertahankan diri ninjutsu yang khusus buat golongan kanak-kanak.
Menurut Chempaka Nuara Mohd. Shafiz, 14, sebelum menyertai kelas ninjutsu, dia tidak pernah tahu tentang seni tersebut dan membayangkan ia seperti ninja yang digambarkan dalam animasi di televisyen.
“Ketika diberitahu tentang kelas ninjutsu, saya fikirkan ia seperti menjadi watak dalam animasi Ninja Turtle, namun selepas menyertai kelas ia adalah satu seni mempertahankan diri yang berbeza dengan yang lain.
“Ninjutsu bukanlah sekadar belajar menjadi ninja dan mengendalikan senjata, tetapi memberi pemahaman tentang cara mempertahankan serta menyelamatkan diri dalam situasi-sitauasi kecemasan,” katanya ketika ditemu bual K2 di Lil’ Ninjas Dojo, Galeri Beli-Belah Atria, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, menerusi pembelajaran ninjutsu, dia mengakui banyak perubahan pada dirinya terutama daripada seorang pemalu menjadi lebih yakin untuk bergaul dengan rakan-rakan sekolah serta menjadi lebih berdisiplin.
Perubahan Chempaka turut disaksikan oleh ibunya, Nor Hidayah Shafiee, 39, yang mengatakan bahawa pendedahan awal yang diberikan banyak membantu membentuk keperibadian anaknya.
Kongsi Nor Hidayah, dia memilih ninjutsu buat anaknya bukan hanya kerana saranan guru seni berkenaan tetapi selepas melihat aktiviti itu mempunyai pendekatan berbeza dalam mendidik kanak-kanak tentang pertahanan diri.
“Kanak-kanak umpama kertas putih dan memang kita yang mencorakkan mereka, sebab itu saya dedahkan mereka dari peringkat awal supaya mereka mudah menyerap ilmu yang disampaikan.
“Sebenarnya banyak manfaat boleh kita dapat dalam seni ninjutsu, malah saya juga terkejut dengan perubahan anak yang mana awalnya saya juga tidak tahu mereka boleh mahir seni tersebut,” ujarnya.
Ninjutsu ialah seni mempertahankan diri yang diketahui berasal dari Jepun dan sering dikaitkan dengan ninja.
Selain sebagai teknik pertempuran, ninjutsu mempunyai sejarah yang kaya, meliputi pelbagai aspek kehidupan, termasuk strategi kelangsungan hidup, pengintipan dan penyusupan.
Ninjutsu secara bahasa membawa maksud seni pertahanan atau seni ketahanan. Perkataan nin bermaksud menahan atau menahan kesukaran, manakala jutsu bermaksud seni atau teknik.
Seni ini dikenali sebagai seni pertarungan yang digunakan oleh ninja di Jepun semasa era feudal. Ninja sering dianggap sebagai pahlawan bayangan yang mempunyai kebolehan luar biasa untuk menyusup, bersembunyi dan melarikan diri.
Menurut pengasas Ninja Kids Malaysia, Marcel Fabian, 49, ninjutsu berbeza daripada seni mempertahankan diri lain seperti karate atau judo, kerana ia tidak hanya tertumpu pada pertempuran fizikal.
Sebaliknya, ninjutsu merangkumi pelbagai kemahiran yang bertujuan bertahan dalam situasi berbahaya, termasuk strategi ketenteraan, pengintipan, penyamaran dan penggunaan senjata bukan konvensional.

“Sejak kecil, saya sudah didedahkan dengan pelbagai seni mempertahankan diri seperti taekwondo, silat dan karate, sebelum mengetahui tentang seni ninjutsu pada tahun 1996 di usia 21 tahun menerusi pembacaan di majalah.
“Terdapat banyak perbezaan ninjutsu dengan seni bela diri lain. Antaranya terletak pada konsep pertahanan diri serta serangan yang bukan saja daripada serangan fizikal tetapi juga penggunaan senjata,” ujar lelaki asal Sabah itu.
Tambahnya, rutin dalam ninjutsu juga amat sesuai diterapkan kepada kanak-kanak kerana walaupun kelihatan seperti aktiviti intensiti tinggi tetapi boleh diolah menjadi pembelajaran dengan aktiviti menyeronokkan.
Kongsinya lagi, seni ninjutsu untuk kanak-kanak berkisar kepada pendedahan asas seni itu meliputi kemahiran menggunakan dan menangkis senjata, pertempuran dan laluan berhalangan (obstacle course).
Memulakan kelas ninjutsu kanak-kanak sejak tahun 2014, Marcel berkongsi rutin yang diajar kepada kanak-kanak lebih menerapkan pendidikan melalui aktiviti di samping pendedahan tertib dan tatacara kepahlawanan.
“Ninjutsu bukanlah secara literal mengajar kanak-kanak menjadi ninja tetapi menerapkan mereka dengan semangat pahlawan itu dalam menggalas tanggungjawab mereka.
“Sebagai contoh, dalam pertahanan ninjutsu ia lebih kepada kecerdasan berfikir untuk mengelak di samping mengurangkan risiko kecederaan dan ini kami ajar menerusi cara menangkis shuriken atau serangan menggunakan pedang (katana),” jelasnya.
Selain itu, kemahiran berfikir secara kritis juga diterapkan menerusi rutin laluan berhalangan di mana pelajar akan menempuh cabaran melibatkan ketinggian, melintasi jurang, laluan tirus dan sebagainya yang membantu membina keberanian dan mengatasi ketakutan (gayat).
Dalam proses pembelajaran pula, terdapat tahap pencapaian yang akan dilalui pelajar sebelum mereka meneruskan langkah ke peringkat lebih tinggi.
Kongsi guru ninjutsu (sensei) dan pengajar kanan Ninja Kids Malaysia, Lionel Yeoh, 38, terdapat lima tahap pencapaian untuk kanak-kanak yang bermula tali pinggang kuning.
“Proses pembelajaran bergantung kepada keupayaan pelajar untuk memahami serta mahir dalam setiap rutin yang diajar dan ia boleh memakan masa antara tiga hingga lima bulan untuk menaikkan tahap mereka.
“Tahap pencapaian akan bermula dengan tali pinggang kuning kemudian oren, biru, ungu dan terakhir coklat untuk kanak-kanak, kemudian selepas selesai semua tahap, mereka kemudian akan beralih ke peringkat tinggi bermula tali pinggang hijau sebelum mencapai tahap tertinggi, hitam,” jelasnya.
Ujarnya, penyertaan kanak-kanak untuk ninjutsu boleh bermula seawal usia empat tahun. Meskipun pengajaran menggunakan senjata, semua alat bantu mengajar itu telah diubah kepada bahan lebih selamat dan tidak mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak.
Yeoh memberitahu, keselamatan pelajar juga amat dititiberatkan dan pada masa sama mahu memberikan mereka keterujaan dalam menjalankan rutin ninjutsu itu sendiri.














