fbpx
MUHAMMAD FAHMI (kiri) menunjukkan kacang bulu yang dituai di ladangnya di Kuala Terengganu. – Foto PUQTRA HAIRRY

Jana pendapatan dengan tanam kacang bulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA hadir ke Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor baru-baru ini, Nurul Aina Iskandar, 27, tertarik dengan satu gerai yang menjual kacang bulu atau dikenali sebagai kacang edamame.

Dia juga tidak melepaskan peluang untuk membeli kacang bulu, sebelum direbus bagi merasai keenakannya.

“Rasa kacang ini berlemak dan ia sedap dimakan begitu sahaja.

“Jarang saya jumpa peniaga menjual kacang bulu ini. Selalunya, ia hanya dijual di kedai makanan Jepun,” katanya kepada K2.

Sementara itu, bagi memperkenalkan kacang bulu, pihak Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Besut, Terengganu telah membawa tanaman tersebut ke pameran MAHA 2024.

Pegawainya, Muhammad Zaimi Zakaria berkata, kacang bulu merupakan tumbuhan liar dan kurang dikenali di Malaysia, tetapi mengandungi sumber protein yang baik.

“Kami membawa satu tan kacang bulu untuk dijual dan diperkenalkan kepada pengunjung MAHA 2024.

“Kacang bulu yang dibawa ini ditanam oleh seorang petani di Kuala Terengganu iaitu Muhammad Fahmi Ismail,” jelasnya.

Kacang bulu bukanlah tanaman yang sering diusahakan oleh usahawan tani di negara ini.

Namun, Muhammad Fahmi yang kini berusia 31 tahun mengambil langkah berani menanam tanaman tersebut, sekali gus menjadi sumber utama pendapatannya.

Mengulas tentang penanaman kacang bulu, Muhammad Fahmi menjelaskan dia terlibat dengan tanaman tersebut sejak 2010 lagi.

“Pada ketika itu, saya membantu ayah menanam kacang bulu secara kecil-kecilan. Namun, terpaksa berhenti sekejap kerana ayah sakit ketika itu.

“Kemudian pada 2015, saya mula tanam sendiri di atas tanah berkeluasan 0.2 hektar. Pada 2017, saya mendapat Geran Agropreneur Muda sebanyak RM10,000 untuk menaik taraf kebun dari segi sistem siraman dan alatan pertanian,” katanya.

Kini, dia mempunyai empat kebun yang menanam kacang bulu dengan keluasan keseluruhan 0.8 hektar.

Sebelum ini, di kampung Muhammad Fahmi di Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu, ada beberapa petani mengusahakan tanaman itu secara kecil-kecilan.

Daripada situ, Muhammad Fahmi mengambil inisiatif untuk belajar cara menanam tanaman tersebut daripada mereka.

Setelah mengetahui cara penanaman tanaman itu, dia terus mengusahakannya.

Ketika ini, Muhammad Fahmi berpuas hati kerana tanaman yang diusahakannya itu berjaya dan permintaan kacang bulu juga amat menggalakkan.

Dalam pada itu, Muhammad Fahmi menjelaskan, tempoh diperlukan untuk menuai hasil adalah sekitar 70 hari.

“Kacang bulu ini tidak mengambil masa terlalu lama untuk membesar.

“Dari kita mula tanam, ia hanya boleh dituai selepas 65 hingga 70 hari,” terangnya.

Tanaman itu hanya memerlukan cuaca panas untuk membesar dengan baik dan penjagaan pokok kacang bulu tidaklah terlalu sukar.

“Kebiasaannya, tanaman ini akan berhadapan dengan serangan serangga pada fasa ia berbuah.

“Serangan yang biasa kita hadapi adalah serangga kesing dan tikus.

“Jika kita sedari ada serangan serangga, racun akan digunakan bagi mengurangkan kesan buruk terhadap tanaman,” katanya.

Cabaran terbesar tanaman kacang bulu adalah untuk memastikan anak benih membesar dengan baik.

Untuk penanaman kacang bulu di kebunnya, Muhammad Fahmi memilih untuk tidak menanam secara serentak pada satu-satu masa.

Sebaliknya, dia membahagikan kepada dua kali penanaman.

“Kini, saya dalam proses menuai kacang bulu untuk keluasan 0.4 hektar (1 ekar) tanah, manakala untuk 0.4 hektar lagi ia dalam proses penanaman semula.

“Bagi keluasan 0.4 hektar tanah, hasil kacang bulu yang kita boleh tuai adalah sekitar 2.5 tan ataupun bersamaan dengan 2,500 kilogram (kg).

“Lima pokok diperlukan untuk kita mendapat 1kg kacang bulu,” ujarnya.

Harga pasaran kacang bulu adalah sekitar RM13 hingga RM15 untuk sekilogram.
Menurut Muhammad Fahmi, pasaran kacang bulu di Terengganu amat baik dan pengeluarannya tidak mampu menampung jumlah permintaan.

Dalam pada itu, Muhammad Fahmi menjelaskan, cabaran utama yang dihadapinya untuk mengusahakan tanaman itu adalah kesukaran mendapatkan benih kacang bulu.

Katanya, masalah benih merupakan salah satu faktor yang menyebabkan ramai tidak mahu mengusahakan tanaman kacang bulu.

“Benih kacang bulu yang diimport selalunya tidak menjadi apabila ditanam di negara ini.

“Berdasarkan pengalaman saya, 50 peratus benih yang diimport sukar untuk hidup.

“Harga pasaran untuk benih kacang bulu ini juga agak mahal, di mana boleh mencecah RM120 hingga RM150 untuk sekilogram.

“Untuk tanaman berukuran 0.4 hektar, saya memerlukan 30kg benih kacang bulu,” jelasnya.

Oleh itu, dia mengambil inisiatif menghasilkan benih sendiri untuk tanaman yang diusahakannya.

Malah, dia turut menjual benih kacang bulu yang dihasilkannya pada harga RM18 untuk setiap 100 gram.

Sementara itu, Muhammad Fahmi memaklumkan. sepanjang terlibat dengan penanaman kacang bulu, ramai yang datang untuk belajar dengannya mengenai tanaman tersebut.

“Ada yang datang dari luar Terengganu semata-mata untuk belajar cara penanaman kacang bulu ini.

“Saya sentiasa menerima kehadiran pelawat dan sedia berkongsi ilmu dengan mereka yang mempunyai niat untuk belajar tanam kacang bulu,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN