MUAR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengurangkan hukuman ke atas lelaki yang merogol anaknya sehingga hamil kepada penjara 27 tahun bagi setiap pertuduhan dan menolak hukuman bagi kesalahan amang seksual fizikal.
Hakim D. J. P Suria Kumar menyifatkan perbuatan tertuduh berusia 42 tahun itu sebagai keji dan terkutuk, selain trauma yang perlu ditanggung mangsa sepanjang hayat.
Katanya, tertuduh sebagai bapa lima anak sepatutnya melindungi mangsa yang ketika kejadian berusia 12 tahun.
“Kesalahan yang kamu lakukan terhadap anak sulung kamu adalah keji dan terkutuk, Bayangkan bagaimana trauma anak kandung kamu bukan senang dia nak sembuh. Faham?
“Setelah mempertimbang pengakuan bersalah dibuat sejak awal pertuduhan dan penyesalan kamu, mahkamah menetapkan hukuman penjara daripada 30 kepada 27 tahun bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
“Mahkamah juga menolak rayuan dan mengekalkan hukuman Mahkamah Sesyen bagi kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama iaitu penjara lima tahun dan tiga sebatan serta tambahan tiga tahun dan dua sebatan,” katanya.
Tambahnya, hukuman bagi tujuh pertuduhan di bawah Seksyen 376(3) itu berjalan serentak, manakala hukuman amang seksual fizikal dijalankan secara berasingan selepas pemenjaraan kesalahan rogol selesai.
“Untuk jumlah hukuman sebatan, bagi keseluruhan lapan pertuduhan ditetapkan 24 sebatan demi mengelakkan kekeliruan mengikut Seksyen 288(1) Kanun Tatacara Jenayah yang menyatakan orang dewasa boleh menerima maksimum 24 sebatan.
“Mahkamah harap kamu insaf, itu sahaja mahkamah boleh pertimbangkan,” katanya.
Kosmo! melaporkan tertuduh yang bekerja kampung mengaku bersalah atas lapan pertuduhan dengan tujuh daripadanya membabitkan perbuatan merogol anaknya yang berusia 12 tahun.
Mengikut fakta kes, kejadian pertama berlaku apabila tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya pada waktu malam pada tahun 2020 sebelum merogol mangsa pada Oktober tahun sama dengan kejadian terakhir pada 5 Jun 2023.
Mangsa melahirkan bayi lelaki hasil perbuatan terkutuk itu. Mangsa mendakwa tertuduh tetap memperkosa dengan memanjat bilik tidurnya meskipun selepas kanak-kanak tersebut menukar kunci. – KOSMO! ONLINE