PETALING JAYA – Seramai 4,627 mangsa banjir daripada 1,484 keluarga telah dipindahkan ke 37 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam negeri setakat 9.55 pagi ini.
Menurut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat peningkatan sebanyak 6.30 peratus bagi mangsa dan 6.05 peratus bagi keluarga berbanding hari sebelumnya.
Enam negeri yang terlibat adalah Kedah, Perlis, Perak, Sarawak, Pahang dan Johor, dengan Kedah mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi.

Sementara itu, banjir turut menjejaskan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU). Setakat ini, terdapat 318 warga emas lelaki dan 412 warga emas perempuan yang telah dipindahkan ke PPS.
Selain itu, 41 OKU lelaki dan 21 OKU perempuan turut dipindahkan sebagai langkah keselamatan.
Penduduk di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk terus mematuhi arahan pihak berkuasa dan bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan pemindahan jika keadaan banjir bertambah buruk.
Orang ramai digalakkan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi dan tidak mempercayai sebarang khabar angin. – KOSMO! ONLINE














