“NIAT saya pada mulanya hanya ingin membantu suami menguruskan bengkel kenderaan yang diusahakannya.
“Bermula dengan sekadar niat untuk membantu, kini saya sendiri telah terlibat dengan serius dalam bidang automotif ini.”
Itulah kata-kata yang terukir dari mulut Mastinah Mohd. Sani, 51, yang kini merupakan Presiden Persatuan Usahawan Pembangunan Automotif Wanita Malaysia (PUSPAWM) dan ‘bos’ pusat sehenti khidmat automotif Azam Motor.
Merupakan Pengarah Syarikat Azam Motor, Mastinah sebelum ini pernah tular kerana kemampuannya sebagai seorang wanita berjaya mengubah konsep bengkel biasa menjadi sebuah pusat sehenti yang menyediakan perkhidmatan bagi pelbagai kenderaan dari sekecil motosikal sehingga sebesar treler. Mastinah juga dikatakan wanita Melayu pertama menguruskan pusat sehenti automotif yang ‘hampir sempurna’ sebegitu.
Mengambil alih bengkel tersebut sepenuhnya daripada suaminya pada tahun 2000, di bawah pengurusannya, Azam Motors beroperasi di Banting, Selangor yang bermula dengan seorang pekerja sahaja kini berkembang sehingga miliki lebih 55 tenaga pekerja.
Berada dalam dunia yang kebiasaannya dipelopori oleh lelaki bukanlah sesuatu yang mudah, namun dia yang telah hampir 30 tahun terlibat dalam bidang automotif itu membuktikan bahawa wanita juga boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki. Mastinah juga boleh berbangga apabila berjaya membuka cawangan di tempat lain.
Sehingga kini dia memiliki tiga cawangan bengkel automotif yang beroperasi di Banting, Salak Tinggi dan juga di Kajang, Selangor.
Sepanjang terlibat dalam bidang tersebut, Mastinah juga mendapat pelbagai anugerah atas pencapaiannya.
Antara diraihnya termasuklah Asia Automotive Award 2023, Malaysia Education & TVET Award 2022, Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2021 dan banyak lagi.
Kongsinya kepada Aura, sebelum terlibat dalam bidang tersebut, Mastinah merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Sepang, Selangor selama dua tahun sebelum berhenti dan melibatkan diri dalam bidang insurans.
“Ketika saya bekerja dalam bidang insurans, suami saya Mispan Ribut, 59, telah membuka sebuah bengkel.
“Dia berhadapan kesukaran untuk menguruskan perniagaan ini dan menarik saya untuk masuk sama dalam bidang automotif memandangkan negara kita sedang berhadapan dengan kegawatan ekonomi pada ketika itu.

“Niat saya pada ketika itu memang untuk membantu suami saya dan saya dapat merasakan kesusahan pada waktu itu untuk kami stabil,” jelas ibu kepada lima cahaya mata itu.
Apabila masuk dalam bidang automotif, Mastinah mengakui dia perlu menambah ilmu pengetahuan dalam bidang tersebut kerana dia bermula dari kosong.
Dia belajar dengan mula mengenali alat ganti kenderaan. Malah, dia yang bertanggungjawab untuk pergi ke kedai alat ganti untuk membeli barangan yang diperlukan pada ketika itu.
Selain itu, bagi menambah lagi ilmu pengetahuan, Mastinah juga mengambil inisiatif untuk menghadiri kursus-kursus automotif.
Dia sendiri pernah menghadiri kursus untuk belajar bagaimana cara untuk menguruskan ‘gear box’ dan sebagainya.
“Langkah pertama yang saya belajar adalah dengan mengenali alat ganti terlebih dahulu.
“Selain itu, saya juga sering belajar dengan pekerja yang lebih berpengalaman untuk mengetahui sesuatu dengan lebih lanjut dan kita tidak perlu malu untuk belajar dengan pekerja sendiri,” jelas Mastinah.
Malah, Mastinah juga mengakui yang dia tidak terlepas daripada menerima kata-kata sinis daripada pelanggan yang hadir di bengkelnya.
“Sebelum ini kebiasaannya, pelanggan yang datang, saya yang akan melayani dan bertanya tentang masalah kenderaan mereka.
“Tetapi ada yang tidak mahu bercakap dengan saya dan hanya mahu bercakap dengan mekanik lelaki sahaja.
“Aku tidak mahu bercakap dengan engkau, engkau perempuan, aku nak bercakap dengan lelaki sahaja, inilah antara kata-kata yang saya dapat daripada pelanggan,” terangnya.

Mengenai dirinya sebagai pemimpin Persatuan Usahawan Pembangunan Automotif Wanita Malaysia (PUSPAWM), Mastinah berkata, persatuan itu berperanan untuk memberikan sokongan moral untuk usahawan wanita.
“Selain itu, kami menjadi penggerak utama untuk ahli terlibat dalam bidang automatif.
“Kami berikan pendedahan dalam bentuk latihan, pembiayaan dan info-info terkini dalam bidang ini,” jelasnya.
Mastinah mengakui, dalam menguruskan perniagaan, dia berdepan dengan cabaran tersendiri.
Terangnya, cabaran itu sama ada daripada faktor yang tidak boleh dikawal dan yang boleh dikawal.
“Contoh faktor yang kita tidak boleh kawal adalah seperti cukai dan kita perlu juga menyelesaikanya.
“Faktor yang boleh dikawal pula adalah seperti rungutan pelanggan yang berkaitan kualiti kerja dan faktor ini kita masih boleh untuk mengawalnya,” terangnya.
Dalam pada itu, Mastinah berkata, dia juga membuka peluang kepada generasi muda di luar sana untuk mengikuti Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Malah, di bengkelnya sendiri ada remaja Orang Asli dari Jerantut, Pahang yang diambil untuk bekerja sambil mengikuti program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
“Program PPT ini melibatkan mereka yang tidak memiliki sijil peperiksaan persekolahan. Mereka diambil untuk menjalani latihan dan menerima pengalaman kerja sebelum layak untuk mendapat sijil kemahiran.
“Saya amat mengalu-alukan mereka yang berminat untuk datang belajar tentang bidang automotif,” ulasnya.
Berbicara tentang perancangannya pada masa hadapan, Mastina ingin menjadikan Azam Motors sebagai satu jenama untuk francais.
Akuinya, sepanjang 30 tahun terlibat dalam bidang itu dia mempunyai ramai pekerja yang datang dan pergi.
“Malah, ada yang telah berjaya membuka bengkel sendiri dan ada yang pergi bekerja dengan orang lain.
“Jadi, saya nak gunakan Azam Motors ini sebagai satu jenama untuk membantu mereka membuka bengkel sendiri,” tuturnya.














