BIARPUN negara ini tampak aman damai, tidak terlibat dalam peperangan, isu sosial yang kritikal, tunjuk perasaan menggila atau huru-hara sana sini, setiap keluarga harus berwaspada.
Dari dalam rumah sehingga ke luar rumah, bahaya yang mengancam nyawa diri dan kesejahteraan keluarga tetap mendatang jika kita terus alpa. Orang tua yang ditinggalkan berdua atau berseorangan, apa lagi jika dia seorang pesara yang memiliki duit ratusan ribu ringgit yang melawatnya mungkin scammer.
Jika saling tidak ambil berat, tidak bertanya khabar dan ziarah mereka, insan tersayang akan kehilangan harta benda. Lagi tragis, pergi dalam keadaan menyedihkan.
Baru seminggu lepas, seorang wanita warga emas yang juga pesara kerugian RM670,994 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian. Mangsa mendakwa dihubungi individu kononnya daripada Unit Khidmat Pelanggan Putrajaya yang menyatakan nombornya disalahgunakan dalam kes jenayah siber.
Di Kuantan, bulan lepas, angkara scammer juga, seorang pesara guru kerugian RM311,810 selepas diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). April lepas, seorang wanita kerugian RM106,012 selepas terperdaya dengan penipuan menggunakan taktik pembelian emas dengan harga murah melalui TikTok.
Terlalu banyak isu scam berlegar di sekeliling kita. Pernah saya (penulis) sendiri dihubungi scammer jenis ini dan mereka amat pakar.
Dilatih begitu efisien sehingga tampak penyamarannya begitu ‘tulen’, siap dengan nombor telefon sebenar agensi-agensi kerajaan serta video aksi ‘pakaian seragam PDRM’nya. Sebab itu ramai cerdik pandai sama ada kerja profesional, perkhidmatan awam, swasta, pelajar gred A, apa lagi pesara amat mudah terperdaya sehingga kerugian ribuan, ratusan dan jutaan ringgit.
Dan bila si scammer menyedari tembelangnya sudah pecah dan saya menempelaknya, lagi bangga pula dia mengatakan: “Ha, ha, hari ini sahaja aku sudah kaut RM500,000 (hasil penipuannya), orang kita ini banyak duit, senang wo kena tipu.”
Scam melalui talian menyebabkan mangsa menjadi papa kedana. Lagi berbahaya scammer yang tidak dijangka, berani berdepan secara bersemuka dengan berpura-pura menjadi ‘orang baik’ di depan mata. Inilah yang berlaku antaranya kepada mangsa-mangsa yang dibunuh kejam dialami arwah Sosilawati Lawiya, bersama-sama tiga rakan yang lain di Morib, Selangor pada September 2010, Allahyarhamah Istiqomah Ahmad Rozi, 33, dan Sabari Baharom, bekas pegawai kewangan Felcra yang hilang sejak 4 September lalu.
Kes-kes scam berkait rapat dengan isu-isu pemerdagangan manusia, pengeksploitasian seksual dan judi dalam talian. Baru-baru ini sempat saya bersembang dengan penganalisis politik antarabangsa, Dr. Bridget Welsh dari Institut Kajian Asia, University of Nottingham, Kuala Lumpur tentang isu pemerdagangan manusia.
“Pihak berkuasa Malaysia perlu serius menyelesaikan isu pemerdagangan manusia melibatkan rakyatnya yang dibawa ke luar terutama di sebelah IndoChina seperti Myanmar dan Kemboja.
Kemungkinan mangsa yang berada di sana boleh mencecah 5,000 orang,” katanya.
Setiap keluarga perlu sentiasa berwaspada. Apa lagi tiba-tiba kita tersedar berdepan syaitan bertopengkan manusia.














