fbpx
Musa menunjukkan pokok pisang berhampiran rumahnya yang musnah dirosakkan gajah di Kampung Basung, Hulu Terengganu semalam.

Kampung jadi ‘taman permainan’ abang besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU TERENGGANU – Ribuan penduduk di tiga perkampungan iaitu Kampung Basung, Kampung Pasir Dula dan Padang Setebu di sini semakin dihimpit kebimbangan selepas perkampungan mereka diceroboh gajah sejak kebelakangan ini.

Situasi itu turut menyebabkan pendapatan penduduk terjejas memandangkan buah duku yang sudah masak tidak dapat dijual dan hanya dibiarkan busuk.

Seorang penduduk, Musa Ah­mad, 71, mendakwa, kumpulan haiwan liar itu bukan sahaja memusnahkan kebun, malah turut menjadikan perkampungan mereka seperti ‘taman permai­nan’.

“Kumpulan gajah tersebut su­dah semakin hampir dengan rumah-rumah kami.

“Minggu lalu, tiga hari berturut-turut perkampungan saya diceroboh seekor gajah dewa­sa menyebabkan sekurang-ku­rangnya 10 batang pokok kelapa berhampiran rumah penduduk tumbang,” dakwanya ketika ditemui di Kampung Ba­sung di sini semalam.

Dakwanya, ramai penduduk kampung kini semakin takut untuk keluar malam, malah tidak berani ke kebun sehingga hasil pertanian mereka terbiar begitu sahaja.

“Sekarang ini musim duku, saya sendiri takut untuk mengeluarkan buah itu dari kebun ekoran pernah terserempak de­ngan seekor gajah sewaktu memanjat pokok buah tersebut baru-baru ini.

“Kesannya hasil jualan duku di kebun saya yang biasa mence­cah RM5,000 semusim kini merosot teruk kepada RM900 sahaja,” dakwanya.

Seorang lagi penduduk, Mamat Mat Amin, 74, mendakwa terserempak dengan dua ekor gajah sewaktu dalam perjalanan pulang dari masjid baru-baru ini.

“Kami benar-benar berharap isu pencerobohan gajah yang sudah berlarutan sekian lama ini diatasi sebaiknya oleh pihak berwajib,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN