fbpx
Abu Bakar melihat perabot yang rosak selepas rumahnya dinaiki air di Kampung Padang Luar, Jitra. – SHAHIR NOORDIN

‘Semua rosak, tiada apa yang selamat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – Penduduk Kampung Padang Luar, Lubuk Batu di sini sayu melihat banyak perabot dan barangan elektrik di kediaman mereka rosak dan diselaputi lumpur selepas banjir surut tiga hari lalu.

Seorang penduduk, Abu Bakar Othman, 65, berkata, rumahnya antara yang paling teruk terjejas di kampung itu sejak dilanda bencana tersebut pada 17 September lalu sehingga tular di media sosial.

“Walaupun saya sudah mele­takkan kesemua barangan di atas meja, namun masih ada yang tenggelam kerana paras air kali ini agak tinggi. Lebih teruk, ada perabot seperti sofa dihanyutkan arus lebih 50 meter.

“Perabot kayu pula rosak kerana kembang kerana berada di dalam air selama beberapa hari.Barangan elektrik seperti peti ais pula belum tahu sama ada masih berfungsi atau tidak,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Abu Bakar, keadaan barangan di dalam rumahnya berselerak dengan ada yang tumbang sebaik pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS).

“Setakat ini saya sudah membersihkan bahagian dalam rumah, bahagian luar belum cuci. Banyak barangan yang perlu dibuang, sakit kepala tengok ba­nyak barang yang belum dikemas,” katanya.

Lelaki itu memberitahu, dia memerlukan sekurang-kurang­nya sebulan sebelum dapat menjalani kehidupan seperti biasa dengan kerugian dianggarkan lebih RM20,000.

“Saya amat mengalu-alukan jika ada pihak yang dapat menghulurkan bantuan seperti tilam, dapur dan peti ais. Dari segi tenaga pula, mujur anak-anak banyak membantu,” katanya.
Isterinya, Che Som Budin, 59, pula diuji dengan penyakit strok.

Seorang lagi penduduk, Radz­wan Harun, 63, berkata, kejadian banjir baru-baru ini yang paling teruk selepas 2010 dengan air naik mencecah satu meter.

“Tahun 2010, air hampir cecah bumbung, walaupun tidak sete­ruk bah besar sebelum ini, kami tetap perlu mencuci barang yang ditenggelami air. Memang penat mungkin perlu ambil masa sebulan untuk bersihkan semua,” katanya yang menganggarkan kerugian lebih RM8,000.

Mohd. Shafie Mustafa, 63, pula memberitahu, semasa kejadian, dia mengangkat sebahagian pe­rabot untuk diletakkan di tempat yang tinggi, namun masih ditenggelami air.

“Ada sebahagian yang terselamat, banyak juga yang tenggelam seperti perabot, barangan elektrik dan kenderaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN